Ada banyak sebab kenapa Apple melarang umatnya dari melakukan jailbreak terhadap peranti-perantinya selain dari alasan menghalang para pengguna perantinya menggunakan perisian dan aplikasi cetak rompak. Sebab paling utama mengapa Apple melarang aktiviti jailbreak adalah atas dasar keselamatan peranti dan juga pengguna Apple itu sendiri.
Baru-baru ini, melalui penemuan malware KeyRaider para pengguna peranti Apple yang telah dijailbreak berisiko besar untuk dijangkiti dengan malware berkenaan. Menurut para penyelidik syarikat pakar keselamatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Palo Alto Networks memaklumkan bahawa, sehingga kini sejumlah 225,000 ID Apple disyaki telah dijangkiti.
“Kami yakin bahawa ini merupakan kes kecurian akaun Apple terbesar yang diketahui setakat ini yang berpunca dari ancaman malware (We believe this to be the largest known Apple account theft caused by malware),” menurut Claud Xiao, penyelidik keselamatan Palo Alto Networks, di dalam sebuah blog yang menceritakan tentang KeyRaider malware.
Selain dari kecurian nama penggguna dan kata laluan dari ID Apple, KeyRaider juga menghimpunkan maklumat-maklumat lain tentang peranti anda, termasuklah GUID, sijil keselamatan, kekunci peribadi untuk menggunakan perkhidmatan pemberitahuan Apple dan juga data sejarah pembelian pengguna melalui App Store.
Bagi pengguna yang tidak bernasib baik, KeyRaider mampu melakukan lebih dari itu dengan menguncikan terus peranti anda melainkan anda sanggup membayar sejumlah amaun kepada pihak yang melakukan jenayah tersebut terhadap peranti anda.
Malware KeyRaider kebanyakannya tersebar pada peranti Apple yang menggunakan perkhidmatan jailbreak Cydia yang berpangkalan di China.
Bagaimanapun, KeyRaider di dapati tidak menjangkiti pengguna-pengguna peranti Apple yang tidak melakukan sebarang pengubahsuaian jailbreaking pada peranti masing-masing.
-Sumber info diperoleh dari Palo Alto Networks