Apple telah melancarkan tablet yang sering diperkatakan sejak akhir-akhir ini, iPad mini 6 menerusi acara Apple Event. Apa yang menarik, tablet baharu kecil ini menerima sentuhan rekaan ala-iPad Pro seperti iPad Air 4.
Rekaan semula ini juga bermakna ia akan menyokong Apple Pencil Generasi Kedua seperti kebiasaan model iPad Pro. Selain itu, ia juga kini menggunakan port USB-C untuk pengecasan. Turut mengalami perubahan ialah pada kedudukan Touch ID yang kini ditempatkan pada butang kuasa.
iPad mini 6 juga menyertakan teknologi Center Stage yang membantu memberi sorotan terhadap individu dalam sesebuah sesi perjumpaan dalam talian. Fungsi ini dapat dilakukan menerusi kamera hadapan 12MP yang ada padanya.
Untuk spesifikasinya, iPad mini 6 didatangkan degnan cip Apple A15 Bionic yang menurut Apple, 40% lebih bagus dari sebelumnya. Cip ini pastinya dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh iPadOS 15 yang mengoperasikan tablet ini.
Terdapat dua pilihan storan untuknya iaitu 64GB dan 256GB merangkumi pilihan Wi-Fi sahaja dan juga Wi-Fi dan 5G. Bagi varian Wi-Fi sahaja, harga yang ditawarkan bermula dari US$499 (~RM2077). Manakala bagi varian 5G, ia ditawarkan dengan harga dari US$649 (~RM2701).