Kementerian Keadilan di Brazil baru-baru ini telah mengarahkan Apple untuk menghentikan jualan iPhone yang tidak didatangkan bersama-sama pengecas di dalam kotaknya, lapor Reuters.
Pihak kementerian berkenaan menyatakan Apple telah memberikan para pelanggannya produk yang tidak lengkap apabila tidak menyertakan pengecas bersama-sama dengannya. Tindakan Apple ini juga dianggap sebagai satu penindasan terhadap pelanggan.
Apple telah didenda sebanyak 12.275 juta reais (~RM10.54 juta) kerana menjual iPhone tanpa pengecasnya di Brazil. Pihak berkuasa di Brazil juga memberikan tekanan kepada Apple untuk berhenti menawarkan iPhone yang tiada pengecas termasuk iPhone 12 dan yang lebih terkini.
Negeri Sao Paolo di Brazil sebelum ini telah mengenakan denda hampir $2 juta (~RM9.01 juta) kerana tidak menyediakan pengecas bersama-sama iPhone dan melanggar Kod Undang-Undang Pengguna. Apple juga telah dikenakan tindakan undang-undang di Brazil pada 2022 selepas seorang pelanggan yang tidak menerima pengecas bertindak menyamannya.
Apple telah memberitahu kepada pihak berkuasa di Brazil mengenai sebab kenapa pengecas tidak didatangkan bersama-sama iPhone adalah disebabkan oleh kepentingan menjaga alam sekitar dan juga mengurangkan sisa elektronik. Brazil bagaimanapun setakat ini tidak menerima alasan tersebut.
Pengecas mula tidak disertakan bersama-sama di dalam kotak iPhone bermula sejak 2020 melalui siri iPhone 12. Di kebanyakan negara, Apple tidak lagi menyertakan bersama-sama Earpods atau pengecas di dalam kotak iPhone dan hanya satu kabel USB-C ke Lightning sahaja yang disediakan. Menurut Apple, kebanyakan pengguna sudah pun mempunyai pengecas masing-masing dan memaklumkan kepada pelanggannya bahawa langkah ini sebagai salah satu usaha ke arah kelestarian alam sekitar.
Apple menerusi kenyataannya kepada Bloomberg memaklumkan pihaknya kini sedang membuat rayuan terhadap keputusan tersebut:
“At Apple, we consider our impact on people and the planet in everything we do,” the company said in an emailed statement. “Power adapters represented our largest use of zinc and plastic and eliminating them from the box helped cut over 2 million metric tons of carbon emissions — equivalent to removing 500,000 cars from the road per year.” […]
“We’ve already won a number of court decisions in Brazil on this topic and are confident our customers are aware of the various options to charge and connect their devices,” the Cupertino, California-based company said.
Perintah yang dikeluarkan oleh Kementerian Keadilan Brazil ini hadir menjelang pengumuman Apple Event yang dijangka turut memperkenalkan iPhone 14 dan iPhone 14 Pro.