Google secara rasminya telah melancarkan siri telefon pintar Pixel 9 untuk pasaran Malaysia dan buat masa ini, hanya model standard dan Pro XL sahaja yang tersedia untuk pra-tempahan menerusi wakil penjual rasmi dan sah sahaja. Untuk model Pro pula, Google mengesahkan model berkenaan akan tiba ke pasaran tempatan sekitar September ini.
Ketiga-tiga model Google Pixel 9 ini dikuaskaan oleh pemprosesan Tensor G4 baharu dengan pemprosesan keselamatan bersama Titan M2, Gemini Nano terbina dalam dan Android 14. Ia juga mempunyai ciri-ciri lain sepeti pengimbas cap jari bawah paparan, pembesar suara stereo, kaca perlindungan Corning Gorilla Victus 2, penarafan IP68 dan juga sokongan SOS satelit. Google juga menjanjikan sokongan kemaskini selama tujuh tahun untuk sistem operasi, keselamatan dan Pixel Drop.
Model-model Pixel 9
Pixel 9 menampilkan paparan OLED 6.3-inci dengan resolusi 1080 x 2424, kadar penyegaran semula 120Hz, dan kecerahan puncak 2,700 nits. Ia juga mempunyai RAM 12GB dan pilihan storan 128GB atau 256GB serta bateri berkapasiti 4,700mAh dengan pengecasan pantas 45W. Baterinya ini juga mempunyai sokongan pengecasan pantas nirwayar dan keupayaan perkongsian bateri. Untuk kamera ia mempunyai dwi kamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP dan kamera ultra-lebar 48MP. Model standard ini juga ditawarkan dengan pilihan warna Peony, Wintergreen, Porcelain, dan Obsidian.
Seterusnya, Pixel 9 Pro XL pula menampilkan paparan OLED 6.8-inci dengan resolusi 1344 x 2992 dan kecerahan puncak 3,000 nits. Model ini menawarkan RAM 16GB, pilihan storan sehingga 1TB dan bateri 5,060mAh dengan pengecasan pantas 45W, pengecasan nirwayar pantas dan sokongan perkongsian bateri. Dari segi fotografinya pula, ia menampilkan tri-kamera yang mengandungi sensor telefoto 48MP dengan zum optikal 5x dengan dua kameranya lagi merupakan kamera sama seperti yang terdapat pada model standard. Kamera hadapannya pula merupakan sebuah kamera 42MP.
Akhir sekali, Pixel 9 Pro yang mempunyai spesifikasi yang sama dengan model XL kecuali pada skrinnya yang merupakan OLED 6.3-inci dengan resolusi 1280 x 2856 pinxel. Ia juga mempunyai bateri yang lebih kecil dari XL dengan hanya berkapasiti 4,700mAh. Kedua-dua model Pro ini boleh didapati dengan pilihan warna Porcelain, Rose Quartz, Obsidian, dan Hazel.
Telefon pintar Google Pixel 9 dijual pada RM3,999 untuk konfigurasi 128GB dan RM4,499 untuk 256GB. Manakala Pixel 9 Pro XL berharga RM5,699 untuk 128GB, RM6,199 untuk 256GB, RM6,799 untuk 512GB, dan RM7,999 untuk 1TB.