AMD telah mengumumkan tiga kad grafik desktop terbarunya di E3 2019. Kad grafik ini dihasilkan berdasarkan senibina terkini ‘Navi’ 7nm yang telah dinanti-nantikan oleh peminat permainan komputer sejak dari tahun lepas. Dua model terbaru yang diumumkan hari ini adalah Radeon RX 5700 dan Radeon RX 5700 XT.
RX 5700 XT memiliki 40 unit pengiraan dan 2560 pemprosesan aliran, dengan puncak prestasinya 9.75 TFLOPS. Ia juga mempunyai kelajuan klok asas 1,605MHz dan kelajuan klok dipertingkatkan 1,905MHz yang hanya mampu dicapai dalam jangka masa pendek sahaja. Klok untuk permainan yang berpadanan untuknya ialah 1755MHz.
GPU ini juga dilengkapi dengan memori GDDR6 8GB dan ditawarkan pada harga $449 (lebih kurang RM1,868). RX 5700 XT disasarkan bakal bersaing dengan NVIDIA RTX 2070, yang berharga $499 (lebih kurang RM1,868).
RX 5700 pula menawarkan 36 unit pengiraan dengan 2304 pemprosesan aliran bersama-sama prestasi puncak 7.95 TFLOPS. Ia mempunyai kelajuan klok asas 1,465MHz, klok dipertingkatkan 1,725MHz dan klok permainan (gaming) 1,625MHz. Pemprosesan grafik ini juga dilengkapi dengan memori 8GB GDDR6 dan dijual pada harga $379 (lebih kurang RM1,577). RX 5700 dikatakan akan bersaing dengan NVIDIA RTX 2060, yang dijual dengan harga $349 (lebih kurang RM1,577).
Radeon RX 5700 XT Edisi Ulang Tahun
Turut diperkenalkan Radeon RX 5700 XT Edisi Ulang Tahun ke-50. Ia mempunyai unit pengiraan yang sama, pemprosesan aliran dan memori yang sama dengan RX 5700 XT jenis standard. Namun, mempunyai klok asas yang lebih tinggi pada 1,680MHz, klok dipertingkatkan – 1,980MHz dan klok permainan – 1,830MHz. Ia bakal dijual pada harga $499 (lebih kurang RM2,077).
Kad grafik terbaru ini juga menawarkan ciri sokongan seperti PCIe 4.0, DisplayPort 1.4 dengan Pemampatan Aliran Paparan (Display Stream Compression), 4K HDR 144Hz atau 8K HDR pada 60Hz melalui satu kabel, FreeSync 2 HDR, dan banyak lagi. Ketiga-tiga kad grafik ini bakal menemui pengguna di pasaran mulai 7 Julai ini.
AMD turut mengumumkan CPU desktop mercu khusus untuk permainan komputer, Ryzen 9 3950X. CPU ini dibina berasaskan senibina AMD Zen 2 dan mempunyai 16 teras dan 32 bebenang. Ia mencatatkan kelajuan klok asas pada 3.5GHz dengan klok yang dipertingkatkan 4.7GHz. Pemprosesan ini turut menyediakan cache L2 + L3 72MB dan 44 laluan PCIe 4.0. CPU AMD Ryzen 9 3950X berharga $749 (lebih kurang RM3,177) dan bakal hadir ke pasaran pada bulan September.
Sumber berita diperoleh dari AMD