TOKYO, 8 Mac – Pencipta siri komik dan animasi popular Jepun Dragon Ball, Akira Toriyama dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 68 tahun oleh pasukan penerbitannya pada hari ini.

Pertama kali dibukukan pada 1984, Dragon Ball merupakan francais manga paling laris dalam sejarah dan telah berjaya mewujudkan sejumlah siri anime, filem dan permainan video.

Toriyama telah meninggal dunia pada 1 Mac lalu akibat “acute subdural haematoma” atau masalah darah beku di dalam otak, menurut kenyataan yang dikeluarkan di dalam akaun rasmi Dragon Ball di X.

Dragon Ball menceritakan kisah seorang kanak-kanak lelaki bernama Son Goku yang mengembara mengumpulkan mutiara ajaib yang boleh menyeru naga untuk menunaikan hajat. Di dalam pengembaraan tersebut, pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi beliau bersama-sama rakan untuk menentang kejahatan. Pun begitu, sebenarnya.. Dragon Ball ada 7 biji kesemuanya.

Toriyama sebelum itu telah pun terkenal dengan manga berbentuk komedi yang dihasilkan beliau pada awal 1980’an, Dr Slump. Beliau kemudian mencuba kelainan menghasilkan Dragon Ball yang diinspirasikan dari kisah rakyat popular Asia, Journey To The West dan juga dari filem-filem kung-fu Hong Kong era tersebut.

Penerbitan Shueisha yang menerbitkan Dragon Ball secara bersiri di dalam majalah Shoneen Jump turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Akira Toriyama. Dalam pada masa yang sama, pencipta francais manga One Piece, Eiichiro Oda turut menyatakan pemergian beliau tidak disangka-sangka dan sukar untuk dicari ganti.

Tinggalkan komentar