Bagi anda yang meminati anime, perkhidmatan tontonan secara dalam talian yang sah biasanya tidak begitu banyak ditawarkan. Kini, peminat anime akan menerima kehadiran salah satu platform penstriman video yang sarat dengan anime, Bilibili di Malaysia.
Sebelum ini perkhidmatan berkenaan hanya ditawarkan kepada sebilangan kecil pengguna sebagai ujian beta tertutup dan baru ini sahaja ia dibuka kepada seluruh pengguna.
Bilibili merupakan platform kandungan janaan pengguna mirip seperti YouTube dengan tarikan utamanya lebih kepada kepelbagai kandungan anime yang ditawarkan.
Sehubungan itu, Bilibili turut mengumumkan akan menawarkan lapan rancangan eksklusif bersempena anime musim panas 2022. Selain penambahan rancangan Overlord musim keempat, platform berkenaan juga menayangkan musim kedua The Devil is a Part-Timer, dan juga Tokyo Mew Mew.
Jika anda lebih berminat dengan siri anime-anime terdahulu, anda juga boleh menikmati rancangan seperti One Punch Man, Naruto dan juga Demon Slayer. Anda boleh menikmatinya di bilibili.tv menerusi laman web, atau pada peranti mudah alih melalui muat turun di Play Store dan iOS.
Anda boleh menonton kandungan yang disiarkan tanpa perlu melog masuk pada kualiti 480p. Jika anda mendaftar masuk menggunakan akaun Google, Facebook atau Twitter, anda boleh menonton kandungannya pada resolusi 720p, selain boleh juga menggunakan pilihan log masuk lain menggunakan emel atau nombor telefon anda. Kualiti video beresolusi Full HD juga ditawarkan bagi pengguna yang melanggan pelan premium Bilibili.