Acer baru-baru ini telah mengumumkan akan melancarkan beberapa produk bahari di Malaysia bersempena Hari Acer pada bulan hadapan.
Selain dari monitor gaming Nitro XV252QF 360Hz, terdapat juga varian baharu Swift 3.
Varian ini berbeza dengan Swift 3 yang dilancarkan sebelum ini kerana memperkenalkan model pertama menampilkan paparan 16.1-inci. Panel IPS pada laptop ini juga dilengkapkan dengan paparan natif resolusi Full HD dan liputan sRGB 100%.
Acer Swift 3 dengan paparan 16.1-inci bagi pasaran Malaysia didatangkan dengan storan SSD 512GB sebagai standard. Manakala pilihan memori pula bergantung pada pilihan pemprosesan.
Bagi yang memilih Intel Core i5-11300H akan didatangkan bersama RAM 8GB, manakala yang memilih Core i7-11370H pula akan mempunyai RAM 16GB.
Dalam perkembangan berkaitan, Acer akan melancarkan sebuah lagi varian Swift 1 ke pasaran tempatan yang menggunakan pemprosesan Intel Pentium Silver N6000. Laptop seberat 1.3kg, model tahap pemula ini akan didatangkan paparan IPS Full HD 14-inci, RAM 4GB dan SSD 256GB.
Harga Acer Swift 3 dan Acer Swift 1 di Malaysia
Harga bagi laptop Acer Swift 3 dengan paparan 16.1-inci dan Core i5 boleh didapati bermula 3 Ogos ini pada harga RM 3,699. Bagi Acer Swift 3 dengan versi Core i7 pula dijual pada harga RM 4,599.
Untuk laptop Acer Swift 1 pula, ia boleh didapati pada harga RM 2,099. Pun begitu, bersempena Acer Day x Shopee Super Brand Day kelak harga laptop ini akan dijual dengan harga promosi iaitu RM 1,999 pada 3 dan 4 Ogos.
Pembelian pada hari jualan promosi tersebut turut berpeluang menerima Gateway Pro Wireless Headset untuk Swift 3 dan Acer E300 TrueHarmony Earphones untuk Swift 1 dari Acer Malaysia. Maklumat lanjut mengenai promosi ini boleh didapati menerusi halaman Acer Day x Shopee Super Brand Day.