Utama Mobile Telco Perkhidmatan 5G akan ditawarkan lebih murah berbanding 4G – Tan Sri Annuar...

Perkhidmatan 5G akan ditawarkan lebih murah berbanding 4G – Tan Sri Annuar Musa

Teknologi rangkaian generasi berikutnya ini disasarkan ditawarkan lebih murah berbanding rangkaian 4G

44
0

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyatakan pihak kerajaan mensasarkan untuk menjadikan perkhidmatan 5G lebih murah berbanding 4G menerusi Digital Nasional Berhad (DNB). Kenyataan tersebut dikeluarkan menerusi sesi soal jawab di parlimen baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, jika menggunakan pendekatan lelongan, pengguna akan dicaj dengan harga lelongan dan menyebabkan mereka menanggung kos yang tinggi.

Beliau turut menjelaskan DNB telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan infrastruktur 5G dengan kaedah yang lebih baik dari segi teknologi dan kos.

Ujian integrasi Multi-Operator-Core-Network (MOCN) dengan lima syarikat telekomunikasi menunjukkan keupayaan DNB menyediakan 5G dengan lebih cekap pada kos yang lebih rendah. Melalui MOCN, pengendali rangkaian mudah alih akan berkongsi satu infrastruktur menara bagi mengurangkan pertindihan.

Tambah beliau lagi, di kebanyakan negara model MOCN melibat antara dua hingga tiga syarikat telekomunikasi sahaja. Tetapi di Malaysia, model MOCN ini digunakan dengan menyambungkan sehingga 6 syarikat telekomunikasi untuk infrastruktur rangkaian 5G.

5G lebih murah dari 4G di Malaysia

Sungguhpun teknologi 5G ini masih lagi baru, Tan Sri Annuar Musa menyatakan kerajaan mensasarkan untuk menjadikan 5G lebih mampu milik berbanding 4G.

Beliau turut berkongsikan di Parlimen mengenai kos per Megabit bagi 5G kelak adalah sekitar antara RM3 hingga RM4. Walaubagaimanapun, beliau tidak memperincikan dengan lebih lanjut perkara tersebut seperti kapasiti dan juga tempohnya.

Menteri berkenaan juga memaklumkan projek ini tidak akan memberikan kesan terhadap perbelanjaan kerajaan kerana ia akan ditanggung oleh sektor swasta.

Harga bagi perkhidmatan 5G ini juga tidak ditentukan oleh DNB sahaja dan ia perlu dibincangkan bersama-sama syarikat-syarikat telekomunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), ujar beliau lagi. Perbincangan untuk memuktamadkan reference access offer (RAO) yang turut melibatkan harga keseluruhan masih lagi dijalankan dan akan diperakukan oleh SKMM.

DNB merancang untuk melancarkan 500 tapak 5G di sekitar Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Putrajaya menjelang hujung tahun ini. Dalam pada masa yang sama, sejumlah 80% penduduk akan menerima liputan 5G disasarkan menjelang tahun 2024 kelak. Malaysia buat masa ini ketinggalan dengan jiran-jirannya seperti Singapura, Thailand dan Indonesia di dalam perlumbaan 5G ini.

Laporan terkini dari Reuters menyatakan tiada syarikat telekomunikasi yang bersetuju dengan harga yang ditawarkan oleh DNB. Walaubagaimanapun, DNB dengan segera telah menafikan laporan tersebut dengan menyatakan RAO masih lagi belum dimuktamadkan buat masa ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.