Utama Telco Celcom Celcom rancang laksanakan ‘Triple Redundancy’ selepas Ganggguan Rangkaian di Utara Semenanjung

Celcom rancang laksanakan ‘Triple Redundancy’ selepas Ganggguan Rangkaian di Utara Semenanjung

815
0

Semalam, pengguna-pengguna Celcom di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis telah mengalami gangguan rangkaian talian mudah alih. Insiden ini turut memberi kesan terhadap pengguna-pengguna telco lain yang menggunakan talian Celcom.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Encik Idham Nawawi telah mengeluarkan pernyataan memohon maaf menerusi akaun Twitter beliau. Menurut beliau, gangguan yang berlaku di antara jam 4.48 petang hingga 6.28 petang 30 Ogos baru-baru ini disebabkan oleh kegagalan fungsi pada tetapan rangkaian gentian ganda dua (double fibre failure) yang telah dilaksanakan.

Sungguhpun Celcom telah berjaya memulihkan rangkaiannya dalam tempoh dua jam, pihaknya tidak mahu insiden gangguan berkenaan berulang lagi di masa hadapan.

Menurut Encik Idham, pasukan beliau kini sedang merancang untuk pelaksanaan rangkaian lewah tiga kali ganda (triple redundancy network) dalam masa yang terdekat ini. Beliau turut menambah gangguan ini berpunca dari pihak ketiga yang telah mengakibatkan ribuan pengguna menerima kesannya.

Setakat ini tidak dapat dipastikan punca sebenar kepada gangguan rangkaian ini. Namun, insiden gangguan rangkaian disebabkan kabel gentian terputus disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan oleh pihak ketiga bukanlah sesuatu yang jarang berlaku.

Tahun lepas, rangkaian jalur lebar gentian di seluruh negara terputus disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan. Berdasarkan laporan, beberapa insiden gangguan kabel gentian berlaku di sekitar tapak kerja-kerja pembinaan MRT dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat di Sabak Bernam.

Berikut insiden ini, TM telah membawakan isu ini kepada pihak-pihak berkuasa tempatan dan tindakan akan diambil terhadap kontraktor-kontraktor yang bertanggungjawab.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.