Utama Telco Celcom CelcomDigi perkenalkan Pelan HomeFibre baharu, Bermula dari RM99/bulan untuk 100Mbps

CelcomDigi perkenalkan Pelan HomeFibre baharu, Bermula dari RM99/bulan untuk 100Mbps

173
0

CelcomDigi secara rasminya telah mengumumkan harga baharu untuk pakej fiber di rumah bermula dari 13 Oktober 2023. Pelanggan baharu akan menikmati penawaran baharu ini pada harga yang lebih rendah dengan pelanggan sedia ada akan menerima naik taraf kelajuan secara percuma.

Pelan CelcomDigi Home Fibre 100Mbps kini ditawarkan pada harga RM99 sebulan, manakala pelan 300Mbps pula kini berharga RM139 sebulan. Seterusnya untuk 500Mbps ia kini ditawarkan pada RM159 sebulan, 800Mbps RM149 sebulan dan 1Gbps pada RM289 sebulan.

Pelanggan juga boleh menerima tawaran yang lebih hebat apabila melanggan bersama-sama pelan pascabayar Celcom atau Digi yang sedia ada. Misalnya untuk pelan dari 100Mbps hingga 500Mbps, pelanggan akan menerima rebat RM10 sebulan selama 24 bulan. Manakala untuk pelanggan pelan 1Gbps pula akan menerima rebat RM20 sebulan dalam tempoh yang sama. Namun, entah kenapa pelanggan 800Mbps tidak menerima rebat yang sama seperti untuk pelan-pelan lain.

Bersempena promosi pelancarannya, CelcomDigi juga menawarkan tawaran eksklusif untuk pelan 300Mbps di mana pelanggan pascabayar akan menerima pengecualian bil selama enam bulan bersama-sama rebat RM10 sebulan. Ini bermakna, pelanggan berkenaan tidak perlu membayar dalam tempoh enam bulan pertama selepas pendaftaran dan akan hanya dikenakan caj bulanan RM129 pada bulan ketujuh sehingga bulan ke-24.

Pihak syarikat telekomunikasi ini juga menyediakan pemasangan percuma dan penghala (router) WiFi 6 untuk kelima-lima pelan fiber berkenaan. Bagi pelanggan yang melanggan pakej 300Mbps, 500Mbps, 800Mbps dan 1Gbps ini juga akan diberikan tawaran pilihan berbentuk permainan, hiburan, rumah pintar dan fibre-to-the-room (FTTR) dengan kadar bayaran tambahan RM2 sehari.

CelcomDigi juga menyatakan harga baharu ini turut merangkumi pelanggan sedia ada tanpa perlu perlanjutan atau pembaharuan kontrak. Dalam pada masa yang sama, pihak syarikat telekomunikasi ini juga menggalakkan pelanggan fiber Celcom atau Digi yang lama untuk beralih ke pelan baharu ini untuk menikmati lebih penjimatan dan ganjaran eksklusif.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi CelcomDigi.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.