YouTube tidak lama lagi dijangka akan mengambil tindakan terhadap pengguna yang menggunakan fungsi penyekat iklan seperti AdBlock atau uBlock Origin untuk menyekat iklan ketika menonton YouTube.
Menurut seorang pengguna di halaman forum Reddit, u/Reddit_n_Me memaklumkan satu skrin pop-up telah muncul ketika dia menonton YouTube pada komputer yang diaktifkan fungsi AdBlock.
Ia memaparkan notis amaran daripada YouTube yang mengesan pengguna berkenaan menggunakan penyekat iklan dan boleh menyebabkan fungsi memainkan video YouTube akan disekat.
Notis amaran tersebut juga menjelaskan iklan-iklan tersebut membolehkan perkhidmatan YouTube kekal percuma untuk kegunaan berbillion pengguna di seluruh dunia. Juga diterangkan, pengguna boleh memilih tontonan bebas iklan dengan melanggan YouTube Premium yang juga boleh membantu pembikin kandungan menjana pendapatan.
Di dalam tangkapan layar yang sama juga, notis tersebut menyediakan pilihan pada bahagian bawah sama ada pengguna membenarkan iklan YouTube atau melanggan YouTube Premium.
Masih di peringkat ujian
Pun begitu, berdasarkan semakan kami notis tersebut tidak muncul ketika menonton YouTube dengan AdBlock sedang diaktifkan. Ini sama dengan laporan oleh The Verge yang mengesahkan YouTube sedang menguji ciri tersebut dengan sebilangan kecil penggunannya di seluruh dunia. Tidak dapat dipastikan sama ada ciri ini akan diperkenalkan kepada seluruh pengguna dan juga tidak diketahui bilakah ia akan hadir kelak.
Menurut jurucakap YouTube, pihaknya mengambil serius terhadap kegiatan menyekat iklan di dalam YouTube. Tindakan menyekat fungsi memainkan video YouTube hanya akan diambil jika pengguna mengabaikan notis membenarkan iklan YouTube dipaparkan sebanyak tiga kali.
Buat masa ini, pengguna boleh memilih tontonan bebas iklan di dalam YouTube dengan melanggan YouTube Premium. Di Malaysia, YouTube Premium berharga RM17.90 sebulan untuk pengguna biasa dengan pengguna pelajar pula boleh mendapatkan pada harga yang lebih rendah, RM10.90 sebulan. YouTube untuk keluarga pula mmebolehkan anda menambah sehingga 5 anggota keluarga ke dalam langganan anda.
Kesemua jenis langganan ini turut ditawarkan dengan tempoh langganan percubaan percuma selama sebulan. Bagi anda yang membeli Samsung Galaxy Z Flip 4, Z Fold 4 dan siri Galaxy S23 boleh menebus langganan percubaan percuma YouTube Premium untuk empat bulan melalui Samsung Members.