Utama Android Samsung Ulasan Samsung Galaxy S23 Ultra; Telefon Pintar dengan Kuasa Ultra Tiada Tolok...

Ulasan Samsung Galaxy S23 Ultra; Telefon Pintar dengan Kuasa Ultra Tiada Tolok Bandingnya

865
0

Jika Samsung Galaxy S22 Ultra sebelum ini merupakan evolusi terulung telefon pintar bentuk bongkah (slab), Galaxy S23 Ultra pula mara selangkah di hadapan dengan menawarkan segala apa yang ada pada S22 Ultra bersama-sama penambahan baharu.

Samsung Galaxy S23 Ultra menawarkan sejumlah penambahbaikan dengan kamera utama baharu. Pembaharuan yang dibawakan olehnya bukanlah seperti skrin boleh lipat memandangkan ciri tersebut adalah unik bagi siri Samsung Galaxy Z. Namun, ia lebih baik dari segi prestasi dan kualiti pengimejannya.

Galaxy S22 Ultra sebelum ini sememangnya sudah dikirakan sebagai sebuah telefon pintar yang baik. Akan tetapi Galaxy S23 Ultra menambahbaik apa yang terbaik sebelumnya.

Prestasinya yang dikuasakan oleh cipset tersuai khusus Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy ini telah dibuktikan menerusi pengendalian yang lebih lancar selain turut membantu dalam menghasilkan pengimejan berkualiti yang menjadi daya tarikan utama telefon pintar ini.

Pada harga bermula dari RM5,699 untuk pilihan konfigurasi storan 256GB, RAM 12GB, Galaxy S23 Ultra boleh dikirakan sebagai peranti berharga premium di pasaran Malaysia. Pun begitu, bagi anda yang merasakan harga ini merupakan pembelian yang berbaloi, Galaxy S23 Ultra sarat dengan pelbagai kelebihan yang boleh anda manfaatkan.

Perubahan yang sedikit tapi bermakna

Samsung Galaxy S23 Ultra vs Galaxy S22 UltraPerbandingan antara Gaalxy S22 Ultra dengan S23 Ultra secara sebelah-menyebelah dapat dibezakan sedikit dari segi reka bentuknya. Bucu pada skrin Galaxy S23 Ultra sedikit kurang melengkung jika dibandingkan model keluaran tahun lepas.

Samsung Galaxy S23 Ultra vs Galaxy S22 Ultra-1Oleh itu bahagian sisinya kini lebih rata berbanding sebelum ini. Sungguhpun perubahan ini mungkin kelihatan tidak begitu ketara, namun pada saya ia satu penambahbaikan. Kebimbangan untuk telefon ini terlepas dari genggaman tangan saya adalah lebih rendah berbanding ketika saya memegang Galaxy S22 Ultra tanpa selongsongnya.

Selain itu, ia juga membantu ketika saya mencoretkan dengan S Pen melalui genggaman yang lebih kemas. Bercakap tentang S Pen, model Ultra pada kali ini juga menyediakan S Pen pada ruangan khas seperti sebelum ini.

Anda boleh menggunakan S Pen berkenaan untuk melukis, membuat nota atau apa sahaja di atas skrin AMOLED LTPO 6.8-inci beresolusi WQHD+ 1440p dengan kadar penyegaran semula adaptif 120Hz.

Seperti kebanyakan telefon-telefon pintar mercu yang lain di pasaran masa kini, ia sarat dengan kelebihan seperti:

  • Penarafan kerintangan air dan debu IP68
  • sokongan rangkaian 5G
  • pengecasan nirwayar
  • pengecasan pantas berwayar 45W (pengecas tidak disediakan)

Prestasi Galaxy S23 Ultra dan Baterinya

Sebagaimana yang dinyatakan tadi, Galaxy S23 Ultra menggunakan cipset Snapdragon 8 Gen 2 yang khusus untuknya. Bukan jenis yang biasa, ia sememangnya dinamakan dengan For Galaxy.

Menurut Samsung, prestasinya adalah lebih baik dari Snapdragon 8 Gen 2. Bagi pengguna biasa, perbezaan prestasi ini mungkin tidak begitu ketara perubahannya. Namun, ia tetap memberikan impak dari segi kepuasan menggunakannya yang sesuai dengan tarafnya selaku peranti mercu.

Untuk ulasan kali ini, unit yang kami terima hadir di dalam konfigurasi storan 256GB dan RAM 12GB. Ia lebih dari mencukupi bagi menampung keperluan aplikasi dan permainan mudah alih paling tinggi permintaannya buat masa ini.

Cipset baharu ini juga didapti kurang panas apabila memainkan permainan berkeperluan grafik tinggi seperti Genshin Impact jika dibandingkan dengan Galaxy S22 Ultra sebelum ini. Oleh itu, saya merasakan penggunaannya adalah lebih selesa kerana peranti kini kurang panas selain animasi dan grafiknya juga lebih lancar.

Bateri

Galaxy S23 Ultra Battery UsageGalaxy S23 Ultra mempunyai kapasiti bateri yang sama seperti tahun lepas, 5,000mAh. Bagaimanapun, menurut Samsung prestasi bateri untuk model kali ini telah dipertingkatkan hasil dari penambahbaikan pada pemprosesan yang digunakan. Secara teorinya, bateri pada Galaxy S23 Ulitra lebih cekap dari segi penggunaan tenaganya.

Berdasarkan penggunaan tipikal saya melibatkan melayari kandungan media sosial, menjelajah pelayar web, menonton kandungan video striming dan penggunaan kamera termasuk rakaman video 4K sekali-sekala, kebiasaannya bateri Galaxy S23 Ultra ini berbaki sekitar 30% apabila sampai ke petang.

Itupun saya menetapkan resolusinya pada HD+ dan kadar penyegaran skrin sehingga 60Hz sahaja. Saya sengaja menetapkannya pada resolusi yang rendah kerana untuk hal penggunaan bateri ini tabiat saya sememangnya agak kedekut kerana malas membawa power bank apabila keluar rumah.

Secara keseluruhannya, penggunaan bateri pada Galaxy S23 Ultra adalah lebih baik dari model terdahulu. Ia memadai untuk penggunaan seharian sebelum anda perlu mengecasnya sebaik senja melabuhkan tirai malamnya.

Integrasi dengan pelbagai produk kelengkapan rumah Samsung 

Antara perkembangan yang kian menjadi penting kebelakangan ini adalah sejauh mana sesebuah telefon pintar berkenaan dapat berintegrasi dengan ekosistem digital kediaman anda.

Samsung Galaxy S23 Ultra memudahkan anda mengendalikan peralatan rumah seperti penghawa dingin, peti sejuk, televisyen pintar dan sebagainya secara pintar melalui aplikasi SmartThings.

Integrasi dengan PC juga kini lebih mudah melalui Dex for Windows PC yang telah dipertingkatkan. Anda boleh menggunakannnya pada mana-mana PC Windows dan tidak semestinya hanya pada laptop Samsung Galaxy Book. Untuk makluman anda, Galaxy Book secara rasminya tidak memasuki ke pasaran Malaysia.

S Pen dan Perisian

Samsung Galaxy S23 Ultra S PenJiwa Galaxy Note hidup di dalam Galaxy S23 Ultra dengan gaya bagaimana pena stylus S Pen disarungkan.

Tiada penambahbaikan baharu pada S Pen ini. Ciri-cirinya juga masih lagi kekal sama seperti yang diperkenalkan pada Galaxy S22 Ultra sebelum ini. Untuk versi kali ini, anda yang gemar mencoretkan catatan atau lukisan pada telefon Galaxy kini boleh mendapatkan pengalaman yang lebih baik. Membuat catatan nota atau lukisan ringkas masih lagi memberikan keseronokan seperti yang disediakan pada model sebelumnya.

Galaxy S23 Ultra First Impression-3

Bucu skrin yang lebih rata dan kurang melengkung ini pada hemat saya dapat mengurangkan kesan terlajak ketika sedang ralit melukis pada skrin Galaxy S23 Ultra ini.

Mungkin bagi pengguna yang sudah terbiasa melukis di atas paparan yang besar, skrin yang lebih rata tanpa lengkungan atau lebih besar seperti Galaxy Tab S8 Ultra atau Galaxy Z Fold 4 lebih sesuai. Namun, dalam pada masa yang sama saya juga mengharapkan skrin pada model Ultra ini rata seperti model Plus dan standard siri S melalui keluaran yang akan datang.

One UI 5.1

Galaxy S23 Ultra didatangkan dengan antaramuka One UI 5.1 yang berasaskan Android 13. Perubahan dari One UI 4 yang diperkenalkan bersama-sama pelancaran siri S22 yang lalu tidak begitu banyak. Antara pembaharuan yang disertakan bersama-sama denganya termasuklah penetapan mod dan rutin, serta pilihan pengubahsuaian skrin berkunci (lockscreen) yang lebih banyak.

Apa yang menarik dengan perisian dari Samsung ini terletak pada sokongannya. Kemaskini untuk sistem operasi disediakan untuk tempoh empat tahun, manakala kemaskini untuk keselamatan pula sokongan yang diberikan oleh Samsung adalah untuk lima tahun. Tidak salah untuk mengatakan ia merupakan salah satu polisi yang terbaik ditawarkan oleh pengeluar peranti Android.

Kamera Samsung Galaxy S23 Ultra

Samsung Galaxy S23 Ultra KameraSamsung Galaxy S23 Ultra menawarkan salah satu sistem kamera mudah alih paling berkuasa di pasaran setakat ini. Ia hadir dengan lensa telefoto 3X dan 10X, satu lensa ultra-lebar dan pastinya, kamera utama baharu 200MP.

Keupayaannya amat memukau bagi sesebuah telefon pintar terutamanya apabila mengambil foto secara zum 10X hingga 30X. Misalnya, saya pernah mengambil foto pesawat yang sedang terbang di langit Putrajaya dengan amat jelas dari aras tanah menggunakan Galaxy S23 Ultra.

Secara ringkasnya, sistem kamera Galaxy S23 Ultra terdiri daripada:

  • kamera utama 200MP f/1.7 kelebaran sederhana dengan OIS
  • kamera telefoto 10MP f/2.4 3X dengan OIS
  • kamera telefoto 10MP f/4.9 10X dengan OIS
  • kamera ultra-lebar 12MP f/2.2
  • kamera hadapan 12MP f/2.2 dengan autofokus

Sungguhpun ia hadir dengan keupayaan zum 100X, saya jarang menggunakannya kerana imej yang dihasilkan kadangkala tidak begitu jelas. Ia lebih baik dari model sebelumnya, namun ciri “Space Zoom” ini tidak mampu menghasilkan imej sebaik zum pada tahap 30X. Saya amat berpuas hati dengan kualiti kejelasan imej yang dihasilkan menggunakan kamera telefoto 10X dan 3X.

Fotografi dalam keadaan kurang pencahayaan dan juga pada wakti malam (nightography) melalui Galaxy S23 Ultra juga dipertingkatkan dari model sebelumnya. Kini tangkapan imej dalam keadaan gelap atau malam juga dapat dilakukan pada kadar yang lebih pantas. Sistem pengimejan yang ditambahbaik ini juga turut membantu dalam fotografi angkasa lepas pada waktu malam.

Mod Astro Photo Galaxy S23 Ultra

Untuk gambar bulan, seperti biasa model Samsung Galaxy S Ultra sentiasa memberikan hasil yang terbaik melalui ciri ini. Selain bulan, anda yang berminat dengan fotografi astronomi dapat memanfaatkan kelebihan yang ada pada Galaxy S23 Ultra ini.

Anda boleh mengakseskannya menerusi tetapan di dalam aplikasi Camera anda dengan pergi ke More > Expert RAW. Seterusnya, mod Astro Photo tersebut boleh diaktifkan dengan menekan pada ikon berbentuk buruj pada penjuru kanan sebelah atas paparan kamera Galaxy S22 Ultra.

Sensor 200MP

Mengenai sensor 200MP baharu pada kamera utama Galaxy S23 Ultra ini, ia sememangnya mampu mengambil foto dengan perincian yang amat tinggi. Memandangkan jumlah piksel yang diambilnya terlalu besar, saiz foto yang dihasilkannya juga amat besar.

Oleh itu, penawaran saiz kapasiti storan minima 256GB adalah sangat wajar disebabkan faktor jumlah piksel yang dihasilkan terlalu besar.

Piksel yang besar ini amat sesuai buat pengguna yang ingin menghasilkan foto yang jelas untuk dicetak pada bunting atau poster pilihanraya misalnya. Selain itu, ia juga berguna untuk suntingan foto pada aplikasi seperti Adobe Photoshop, GIMP dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, secara lalai mod kamera Galaxy S23 Ultra ini ditetapkan pada 12MP. Kualiti yang dihasilkannya juga amat baik dengan bantuan sistem algoritma fotografinya melalui tetapan ‘scene optimizer’ dan ‘Auto HDR’.Galaxy S23 Ultra Taman Seri Empangan Putrajaya

Seperkara lagi yang menjadi kelebihan pada fotografi telefon pintar ini terletak pada mod Portrait yang disediakan. Hasil yang dijana olehnya hampir kepada kualiti fotografi portret dengan kesan bokeh seperti yang biasa kita lihat pada kamera DSLR.

Imej latar mampu dikaburkan dan diasingkan daripada subjek melalui sistem kameranya bagi menaikkan lagi kesan penceritaan sesebuah gambar. Menerusi mod ini, anda mempunyai pilihan untuk zum 3X dan juga 1X.

Kualiti video yang dihasilkannya juga amat bagus untuk disimpulkan. Rakamannya tersedia dengan resolusi sehingga 8K pada 30 fps. Namun, saya sering memilih untuk menggunakan 4K sahaja kerana ia lebih dari memadai untuk dipaparkan pada monitor berskrin lebih besar dan juga untuk dikongsi di media sosial.

Secara keseluruhan, warna yang dihasilkan dan perincian di dalam video adalah amat baik bergantung pada pencahayaan ketika rakaman dibuat. Cuma dari segi warna, ada kalanya warna yang dihasilkan terlalu terang dan ‘terlebih ceria’ dengan kadang-kadang warna putih yang terang menjadi agak kelabu jika merakam dalam tempat tertutup (indoor).

Kesimpulan

Samsung Galaxy S23 Ultra KVTelefon pintar ini selayaknya digelar sebagai “Ultra” dengan segala kelebihan yang ada padanya. Sebelum ini Galaxy S22 Ultra sudah pun sarat dengan kecanggihan yang sukar ditandingi, justeru penambahbaikan yang dibawakan oleh Galaxy S23 Ultra pada tahun ini dirasakan tidak begitu ketara.

Samsung Galaxy S23 Ultra merupakan telefon pintar yang sesuai buat anda ingin melihat sejauh mana tahap keupayaan teknologi telefon pintar masa kini. Pencapaiannya juga mencakupi hampir segenap aspek dari fotografi, permainan mudah alih, paparan skrin, 5G, sehinggalah ke perisiannya.

Harga Samsung Galaxy S23 Ultra di Malaysia

Jika harga bukan penghalang untuk anda memilikinya, Samsung Galaxy S23 Ultra dijual pada harga seperti berikut di Malaysia:

  • Samsung Galaxy S23 Ultra (storan 256GB, RAM 12GB) – RM5,699
  • Samsung Galaxy S23 Ultra (storan 512GB, RAM 12GB) – RM6,199
  • Samsung Galaxy S23 Ultra (storan 1TB, RAM 12GB) RM7,199

Pembelian boleh dibuat menerusi Samsung Online Store dan anda juga boleh memanfaatkan program pra-tempahan yang kini telah dibuka sehingga 23 Februari 2023. Pelbagai tawaran menarik ditawarkan termasuk menaik taraf pilihan storan, diskaun untuk produk-produk Galaxy terpilih dan satu e-Voucher RM400.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.