Pencapaian siri Samsung Z Fold kini melalui Galaxy Z Fold 4 merupakan sesuatu yang amat wajar dibanggakan jika dibandingkan dengan keadaan ketika awal pengenalannya dahulu pada tahun 2019.
Antara yang perlu diketengahkan adalah kelasakannya yang menampilkan kerintangan terhadap air IPX8 dan juga penggunaan kaca Corning Gorilla Victus. Malah, spesifikasinya juga tinggi melalui penggunaan cipset Snapdragon 8 Plus Gen 1 bersama-sama RAM 12GB dan storan sehingga 1TB.
Seperti modelnya pada tahun lepas, Galaxy Z Fold 4 menampilkan dua paparan dengan bahagian luarannya berukuran 6.3-inci dan sebelah dalam 7.6-inci.
Ketika meluangkan masa membelek-belek Galaxy Z Fold 4 pada sesi penerangan media baru-baru ini, saya mendapati rekaan telefon boleh lipatnya adalah yang paling mantap setakat ini.
Sungguhpun ia tidak membawakan perubahan yang besar berbanding keluaran terdahulu, ia menampilkan sebilangan penambahbaikan untuk meningkatkan mutu telefon pintar yang cemerlang ini. Tambahan pula di dalam segmen telefon pintar boleh lipat yang kurang persaingan ini, kemaskini sebegini sudah memadai.
Isi Kandungan
Rekaan dan skrinnya
Samsung Galaxy Z Fold 4 dilihat sebagai sebuah model telefon pintar yang paling banyak memanfaatkan teknologi skrin boleh lipat. Ia mampu memainkan kedua-dua fungsi dengan baik iaitu sebagai telefon pintar biasa dan juga sebagai sebuah tablet. Anda boleh membuka lipatan skrinnya jika ingin menonton video pada paparan yang lebih besar dan boleh melipatkannya semula untuk kegunaan harian telefon pintar.
Konsep rekaannya masih lagi kekal seperti rekaan Galaxy Z Fold sebelum ini melalui paparan luaran yang kecil berbanding paparan dalaman yang berukuran 7.6-inci apabila dibuka. Samsung juga telah membuatkan skrinnya sedikit melebar dengan nisbah aspek 23.1:9. Menurutnya, ia bertujuan mengurangkan jalur hitam pada bahagian atas dan bawah apabila memainkan kandungan video. Saya tidak dapat memastikan sama ada perubahan ini begitu ketara atau tidak kerana tidak berkesempatan mengujinya dengan lebih lanjut.
Skrin dalamannya menyediakan ciri yang biasa terdapat pada telefon pintar mercu. Menurut Samsung, tahap kecerahan skrin AMOLED ini mampu mencapai sehingga 1000 nits dengan kadar kadar penyegaran semula adaptif 120Hz. Ia juga menyokong pena stylus S Pen dan turut mempunyai kamera pada bawahnya.
Kamera di bawah paparan dalaman Samsung Galaxy Z Fold 4 menyaksikan penambahbaikan berbanding Galaxy Z Fold 3. Anda mungkin tidak perasan kamera tersebut jika melihatnya sekali imbas pada paparan ini. Pun begitu, kualiti kamera sudah memadai untuk kegunaan bagi sidang panggilan video.
Garis kedutan pada bahagian tengah lipatan paparan dalaman Galaxy Z Fold masih lagi kelihatan pada Z Fold 4 ini. Ia mungkin sedikit mengganggu, namun lama-kelamaan pengguna dapat membiasakannya kerana ia tidak menjejaskan penggunaannya secara keseluruhan.
Setakat ini Galaxy Z Fold 4 merupakan satu-satunya telefon pintar dengan taraf kerintangan air IPX8 dan mempunyai perlindungan Gorilla Glass Victus pada paparannya. Ia juga sedikit ringan iaitu 263g berbanidng Z Fold 3 dengan 271g. Tidak begitu besar bezanya, namun dapat dirasakan.
Spesifikasi Samsung Galaxy Z Fold 4
Bahagian dalaman Galaxy Z Fold 4 turut memperlihatkan peningkatan dari segi perkakasannya. Untuk semua pasaran, telefon pintar boleh lipat ini menggunakan cipset Qualcomm baharu, Snapdragon 8+ Gen 1.
Pada bahagian belakang Galaxy Z Fold 4, ia menyediakan tiga buah kamera dengan kamera utama 50MP, kamera telefoto 12MP dan kamera zum 10MP dengan zum digital 30x dan zum optikal 3x.
Samsung menyatakan sensor kamera utamanya mempunyai piksel 23% lebih cerah dan ia meningkatkan kualiti imej dalam keadaan kurang pencahayaan dan mode Nightography. Selain itu, penambahbaikan ini turut membawakan video yang lebih stabil dalam keadaan pencahayan rendah.
Seperkara lagi perubahan yang agak ketara ditampilkan pada Samsung Galaxy Z Fold 4 ini hadir dalam bentuk Android 12L. Ia merupakan versi sistem operasi dari Google yang dikhususkan untuk telefon yang besar dan tablet dengan ciri utamnaya melalui taskbar mirip desktop.
Taskbar ini ditempatkan pada bahagian bawah paparan dan memaparkan lebih banyak aplikasi berbanding ruangan dok (dock) bawah yang biasa disediakan di dalam Android. Ia juga boleh dibawa naik apabila anda sedang membuka aplikasi lain bagi membantu fungsi berbilang tugasan.
Tidak dapat dipastikan jika versi Android 12L ini akan dibawakan ke siri Galaxy Z Fold terdahulu atau tidak.
Turut disediakan sebuah bateri berkapasiti 4,400mAh yang sama dengan Z Fold 3. Ia juga menyokong pengecasan pantas secara berwayar dan juga pengecasan nirwayar.
Sekali pandang kapasiti bateri ini agak kecil kerana ia perlu memberikan kuasa untuk dua buah paparan Galaxy Z Fold 4 dan saya tidak merasakan penggunaannya mampu bertahan lebih dari sehari. Walaubagaimanapun, hal ini masih lagi terlalu awal untuk menjangkakannya selagi penggunaannya masih lagi belum dicuba.
Paparan | Cover screen: Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, Corning Gorilla Glass Victus+ 6.2 inci, 904 x 2316 piksel, nisbah 23.1:9 Skrin dalaman: Foldable Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+, 1200 nits (maksimum) |
Cipset | Qualcomm Snapdragon 8 Gen+ 1 |
Memori/Storan | RAM 12GB – Storan 256GB, 512GB atau 1TB |
Bateri | Li-Po 4,400mAh Sokongan pengecasan pantas sehingga 25Wh Pengecasan pantas nirwayar 15W Pengecasan berbalik nirwayar 4.5W |
Kamera | Kamera utama: 50 MP, f/1.8, 24mm (lebar), 1.0µm, Dual Pixel PDAF, OIS 10 MP, f/2.4, 67mm (telefoto), 1.0µm, PDAF, OIS, 3x zum optikal 12 MP, f/2.2, 123˚, 12mm (ultralebar), 1.12µm Kamera hadapan: 4 MP, f/1.8, 26mm (lebar), 2.0µm, bawah paparan Kamera bahagian Cover screen: 10 MP, f/2.2, 24mm (lebar), 1/3″, 1.22µm |
Ketersambungan | Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac/6e, dual-band, Wi-Fi Direct, hotspot 5.2, A2DP, LE, aptX HD Type C USB 3.2, USB On-The-Go A-GPS/GLONASS/GALILEO/BDS |
Ukuran | Buka: 155.1 x 130.1 x 6.3 mm Lipat: 155.1 x 67.1 x 14.2-15.8 mm |
Berat | 263g |
Warna | Graygreen, Phantom Black, Beige, Burgundy |
Kesimpulan
Sungguhpun saya hanya dapat meluangkan sedikit masa membelek-belek Samsung Galaxy Z Fold 4 ini, penambahbaikannya jelas kelihatan sungguhpun tidak begitu banyak. Apa yang penting, ciri-ciri mengarus perdanakan telefon pintar telah disampaikan dengan baik oleh Samsung Galaxy Z Fold 4 dan dijangka mampu menjadikan Samsung peneraju utama telefon pintar boleh lipat di masa hadapan.
Harga Samsung Galaxy Z Fold 4 di Malaysia
Anda kini boleh membuat pra-tempahan Samsung Galaxy Z Fold 4 dan akan menerima e-baucar Samsung Malaysia Online Store bernilai RM650. Baucar berkenaan boleh digunakan untuk membeli produk Samsung tambahan. Selain itu, anda juga boleh menerima Waranti Lanjutan Samsung Care+ selama 1 tahun.
Produk | Model | Harga | Warna pilihan | Percuma |
Galaxy Z Fold4 | Galaxy Z Fold4 (256GB) | RM6,799 | · Graygreen · Beige · Phantom Black · Burgundy | · Samsung Care+ One-year extended warranty (worth RM599) and 3 Protective Film Replacements · 1 free Samsung Online e-voucher worth RM650 · 1 free Standing Cover with Pen (worth RM369) |
Galaxy Z Fold4 (512GB) | RM7,299 | |||
Galaxy Z Fold4 (1TB) | RM8,299 |
Pra-tempahan boleh dibuat menerusi Samsung Experience Stores, Samsung Authorized Partners dan Samsung Malaysia Online Store untuk mendapatkan Samsung Galaxy Z Fold 4.