Utama Android Samsung Pandang Pertama Samsung Galaxy Z Flip 4; Telefon pintar boleh lipat terkini...

Pandang Pertama Samsung Galaxy Z Flip 4; Telefon pintar boleh lipat terkini Samsung

640
0
Samsung Galaxy Z Flip 4 Malaysia

Samsung pada Rabu lalu telah mengumumkan secara rasminya telefon pintar boleh lipat baharunya, Galaxy Z Fold 4 dan Galaxy Z Flip 4. Menerusi acara Galaxy Unpacked berkenaan, turut diumumkan peranti boleh pakai Galaxy Watch 5, Watch 5 Pro dan Galaxy Buds 2 Pro.

Pada sesi taklimat ringkas media yang diadakan pada sehari sebelum pelancaran rasminya, saya berkesempatan membelek-belek pelbagai produk Galaxy baharu yang dilancarkan tersebut, termasuklah Galaxy Z Flip 4.

Reka bentuk Samsung Galaxy Z Flip 4

Sekali pandang, memang tidak jauh bezanya di antara Galaxy Z Flip 4 dengan Galaxy Z Flip 3 yang dilancarkan pada tahun lepas. Antaranya skrin luaran berukuran 1.9-inci yang memaparkan notifikasi, pintasan aplikasi dan tetapan segera.Samsung Galaxy Z Flip 4 Malaysia-2

Manakala skrin di dalamnya pula berukuran 6.7-inci panel OLED beresolusi 2460 x 1080 dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Malah garis kedutan di tengah-tengah skrin ini masih lagi kelihatan seperti yang terdapat pada Z Flip 3.

Untuk model keluaran tahun ini, terdapat empat pilihan warna asas yang disediakan iaitu Bora Purple, Blue, Pink Gold dan Graphite. Turut ditawarkan pilihan tempahan khas adunan pelbagai warna-warna pilihan Samsung Bespoke.Samsung Galaxy Z Flip 4 Pilihan Warna

Berbeza dengan Samsung Galaxy Z Fold 4 yang dilihat agak maju dari segi penawarannya terutama bagi kegunaan produktiviti, penawaran Galaxy Z Flip 4 pula agak sederhana yang sesuai bagi kegunaan umum.

Jika tarikan utama Galaxy Z Fold 4 adalah skrinnya yang boleh dibuka untuk menjadi lebih besar seperti sebuah tablet, Galaxy Z Flip 4 mengetengahkan ciri boleh lipatnya untuk memudahkan ia dimasukkan ke dalam kocek seluar.Samsung Galaxy Z Flip 4 Malaysia-3

Bingkai untuk skrin di dalamnya juga kini lebih nipis dengan fungsi skrin luarannya (cover screen) kini diperluaskan lagi bagi memudahkan anda memberi respon tanpa perlu membuka lipatan Galaxy Z Flip 4 anda. Pengubahsuaian tema pada skrin luaran ini juga didatangkan dengan lebih banyak pilihan bagi meningkatkan keseronokan menggunakannya.

Samsung juga dilihat lebih menekankan penggunaan skrin luaran Galaxy Z Flip 4 dan membantu pengguna berinteraksi dengannya seperti menggunakan jam tangan pintar. Dalam pada masa yang sama, pengguna masih boleh terus memberikan respon selanjutnya dengan membukanya.Samsung Galaxy Z Flip 4 Malaysia-1

Pengubahsuaian tema Samsung Galaxy Z Flip 4 ini tidak terhenti di peringkat perisiannya, malah turut dikembangkan lagi melalui 75 adunan warna Bespoke mengikut citarasa pengguna yang boleh ditempah.

Ciri-ciri dan Spesifikasi Samsung Galaxy Z Flip 4

Sungguhpun Z Flip 4 lebih mengetengahkan ciri reka bentuk nostalgia telefon boleh lipat, ia masih lagi menawarkan spesifikasi peringkat mercu. Antaranya penggunaan cipset Snapdragon 8+ Gen 1 yang sama dengan yang digunakan pada Galaxy Z Fold 4.

Baterinya pula untuk kali ini hadir dengan kapasiti 3,700mAh, lebih besar berbanding Galaxy Z Flip 3 yang sebelum ini cuma 3,300mAh. Turut disediakan sokongan pengecasan pantas secara berwayar dan juga sokongan pengecasan nirwayar.

Bilangan kamera yang ditawarkannya pula masih lagi sama seperti keluaran sebelumnya, dengan kamera 12MP lebar dan sebuah kamera 12MP ultra-lebar pada sebelah luarnya. Manakala di sebelah dalamnya pula disediakan sebuah kamera 10MP.Samsung Galaxy Z Flip 4 Malaysia-Rose Gold

Samsung turut memanfaatkan ciri boleh lipat telefon pintar ini dengan menyertakan Flex mode. Anda boleh menggunakannya untuk pelbagai perkara seperti menjadikannya seperti sebuah camcorder untuk rakaman video.

Anda juga boleh menggunakan separuh bahagian bawah Galaxy Z Flip 4 ini sebagai trackpad atau panel kawalan main semula video. Selain itu, Samsung juga memaklumkan aplikasi yang tidak menawarkan sokongan Flex mode sepenuhnya sebelum ini kini mampu menawarkan sokongan yang lebih baik. Mungkin, jika kami berkesempatan untuk mengujinya kelak, kami menjelaskan dengan lebih lanjut di dalam ulasan Samsung Galaxy Z Flip 4 yang akan datang.

Spesifikasi Samsung Galaxy Z Flip 4

  • Perisian: OneUI 4.1 (Android 12)
  • Paparan dalaman: 6.7-inci FHD AMOLED (2640 x 1080)
  • Paparan luaran: 1.9-inch AMOLED (260 x 512)
  • Kadar penyegaran semula: 1-120Hz (paparan dalaman sahaja)
  • Cipset: Snapdragon 8 Plus Gen 1
  • RAM: 8GB
  • Storan: 128GB, 256GB, atau 512GB
  • Kamera luar: lebar 12MP(f/1.8), 12MP ultralebar (f/2.2)
  • Kamera dalam: 10MP (f/2.4)
  • Bateri: 3,700 mAh
  • Pengecasan: 25W berwayar, 5W nirwayar
  • Kerintangan air dan debu: IPX8
  • Saiz (dilipat): 2.8 x 3.3 x 0.62 – 0.67 inci (71.9 x 84.9 x 15.9 – 17.1 mm)
  • Size (lipatan dibuka): 2.8 x 6.5 x 0.27 inci (71.9 x 165.2 x 6.9mm)
  • Berat: 187 gram
  • Warna: Bora Purple, Graphite, Pink Gold, Blue

Kesimpulan

Tidak dinafikan naiktaraf yang ditawarkan pada siri Galaxy Z Flip pada tahun ini tidak begitu ketara. Ia lebih kepada memperkemaskan penawaran terbaik yang sedia ada padanya. Penambahbaikan yang wajar diraikan tentunya pada tangkapan foto di dalam keadaan kurang pencahayaan, bateri yang lebih besar, serta lebih tumpuan pada paparan luarannya.

Harga Samsung Galaxy  Z Flip 4 di Malaysia

Anda kini boleh membuat pra-tempahan Samsung Galaxy Z Flip 4 di eStore Samsung Malaysia pada harga RM4,099 untuk versi storan 128GB. Untuk pilihan konfigurasi storan 256GB dan 512GB pula anda boleh mendapatkannya pada harga masing-masing RM4,399 dan RM4,899. Kesemua pilihan konfigurasi ini ditawarkan dengan kapasiti RAM sebanyak 8GB.

  • Samsung Galaxy Z Flip 4 128GB – RM4,099
  • Samsung Galaxy Z Flip 4 256GB – RM4,399
  • Samsung Galaxy Z Flip 4 512GB – RM4,899
  • Galaxy Z Flip4 Bespoke Edition 256GB – RM4,599

Galaxy Z Fold 4 Z Flip 4 Preorder MalaysiaAnda yang membuat pra-tempahan Samsung Galaxy Z Flip 4 ini dari sekarang sehingga 1 September ini turut berpeluang menerima pelbagai cenderahati percuma yang disediakan termasuk waranti lanjutan Samsung Care+ bernilai RM499.

ProdukModelRRPWarna yang ditawarkanCenderahati percuma
Galaxy Z Flip4Galaxy Z Flip4 (128GB)RM4,099·Bora Purple

·Blue

·Pink Gold

·Graphite

·Bespoke Edition

·        Samsung Care+ One year extended warranty (worth RM499) and 3 Protective Film Replacements

·        1 free Samsung Online e-voucher worth RM450

·        1 free Flap Leather Cover (worth RM379)

Galaxy Z Flip4 (256GB)RM4,399
Galaxy Z Flip4 (512GB)RM4,899
Galaxy Z Flip4 Bespoke Edition (256GB)RM4,599

Pra-tempahan boleh dibuat di Samsung Experience Stores, Samsung Authorized Partners dan Samsung Malaysia Online Store.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.