Motorola sebelum ini pernah dilaporkan melancarkan telefon pintar pertama dengan sensor kamera 200MP. Terkini, sensor kamera tersebut dikatakan akan hadir pada lebih banyak telefon pintar dengan maklumat tertiris menunjukkan ia bakal hadir pada telefon Xiaomi.
WinFuture mendedahkan terdapat dua buah telefon pintar baharu yang setakat ini masih belum diumumkan oleh Xiaomi. Peranti berkenaan dikatakan merupakan sebahagian dari siri Xiaomi 12T dengan kedua-duanya menampilkan kamera utama yang besar sensornya. Bagaimanapun, hanya Xiaomi 12T Pro sahaja yang dijangka akan hadir dengan kamera dengan sensor 200MP.
Sungguhpun WinFuture tidak menyatakan sensor jenis apa, ia berkemungkinan sensor Samsung ISOCELL HP1 yang diumumkan pada hujung 2021. Setakat ini sensor berkenaan hanya didapati pada Motorola Edge 30 Ultra yang baharu sahaja dilancarkan di Eropah.
Xiaomi seringkali diperkatakan sedang membangunkan telefon pintar dengan sensor berkenaan. Cuma agak mustahil ia akan menggunakan ISOCELL HP3 yang lebih baharu, namun segalanya mungkin boleh terjadi.
Desas-desus lain mengenai Xiaomi 12T Pro
Desas-desus berkenaan telefon pintar baharu Xiaomi ini juga turut menyatakan mengenai kamera-kamera lain yang didatangkan bersama-sama kamera 200MP tadi. Agak mengecewakan jika dakwaan ini benar kerana telefon pintar ini dikatakan menggandingkan kamera 200MP tersebut dengan sebuah kamera ultra lebar 8MP dan satu kamera makro.
Paparannya pula hadir dengan panel OLED 6.67-inci dengan resolusi 2712 x 1220 dan kadar penyegaran semula 120Hz. Kuasa pemprosesannya pula menggunakan Snapdragon 8+ Gen 1, storan 256GB bersama-sama pilihan RAM sama ada 8GB atau 12GB mengikut pasarannya kelak. Baterinya berkapasiti 5,000mAh mampu menyokong pengecasan 120W dan turut menyertakan palam pengecas di dalam kotak pembungkusannya.

Untuk Xiaomi 12T standard pula ia hadir dengan ciri rekaan, paparan, bateri dan pengecasan pantas yang sama seperti dengan Pro. Ia cuma dibezakan dari jenis cipset dan kamera-kameranya.
Menurut WinFuture, Xiaomi 12T akan mempunyai kamera utama 108MP dengan kamera-kamera yang berpasangan dengannya masih lagi sama dengan model Pro. Model standard ini menggunakan cipset MediaTek Dimensity 8100 Ultra, dengan RAM 8GB dan storan pilihan 128GB atau 256GB.
WinFuture menjangkakan telefon pintar ini akan dilancarkan sekitar minggu hadapan dengan harga untuk Xiaomi 12T dan 12T Pro masing-masing €649 (~RM2,984) and €849 (~RM3,856).