Salah satu sensor Samsung ISOCELL (untuk peranti mudah alih) telah menjadi yang pertama melepasi paras 100MP dan Xiaomi kini dikatakan menjadi yang pertama menggunakannya. Menjelang pelancaran sensor 200MP oleh Samsung, Xiaomi sedang bersiap sedia untuk menjadi yang pertama menggunakannya.

Berdasarkan maklumat yang tertiris dari Digital Chat Station dan Ice Universe, sensor 200MP ini akan mempunyai 0.64 µm piksel. Setakat ini, kedua-dua maklumat yang diperoleh ini tidak menyatakan bilakah ianya akan diumumkan.

Sebelum ini turut dikatakan sensor ini akan menawarkan format optikal 1/1.37”, lebih kecil dari GN2 (1/1.12”) dan mempunyai saiz yang lebih kurang sama dengan sensor 108MP, HM3 (1/1.33”, 0.8µm).

Sensor 108MP yang digunakan masa kini mempunyai keupayaan mengezum digital tanpa menghilang (lossless) 2x atau 3x secara natif, bergantung pada konfigurasi. Sensor 200MP yang akan datang ini sepatutnya boleh pergi lebih jauh lagi.

Secara teknikalnya, sensor ini juga mempunyai resolusi yang mencukupi untuk video 16K (133MP). Namun, cipset yang mampu memprosesnya masih lagi belum wujud buat masa ini. Cipset mudah alih paling berkuasa pada masa ini pun masih belum lagi mampu untuk memproses 8K 60fps.

Apa pun, sensor beresolusi lebih tinggi perlu menggunakan piksel-piksel yang lebih kecil. Jika tidak, ianya akan menjadi lebih besar dan menjadikan modul kameranya lebih tebal.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.