Xiaomi Memory Extension

Bagi anda yang memiliki telefon pintar Xiaomi berspesifikasi rendah, tidak lama lagi anda bakal menerima khabar berita baik. Menurut Kacper Skrzpek, beliau telah menemukan kod yang menunjukkan fungsi “RAM tambahan” di dalam sistem MIUI yang tidak dinyatakan versinya.

Konsep sebegini bukanlah sesuatu yang baru dan ianya telah digunakan pada PC Windows melalui Virtual Memory. Fungsi ini memperuntukkan sebahagian amaun memori fizikal (Ingatan Baca Sahaja, ROM) dari storan peranti untuk diubahkan kepada Ingatan Capaian Rawak, ROM.

Ini bermakna selepas perubahan tersebut berlaku, ROM yang diperuntukkan tidak boleh digunakan lagi untuk tujuan storan sehinggalah pengguna mengubahkannya kembali ke asal.

Xiaomi bukanlah jenama pertama yang memperkenalkan fungsi RAM tambahan pada telefon pintar. Jenama pertama yang melakukannya adalah Vivo melalui Vivo V21. Telefon pintar berkenaan menyediakan pilihan kepada pengguna untuk meningkatkan kapasiti RAM dari 8GB kepada sehingga 11GB dengan mengubahkan 3GB dari kapasiti 128GB storan dalamannya.

Jika maklumat Skrzpek ini disahkan tepat, fungsi yang ditawarkan oleh Xiaomi ini mirip dengan apa yang diberikan oleh Vivo. Berdasarkan tangkapan layar yang dikongsikan, fungsi dari Xiaomi ini boleh mengubahkan storan 1GB kepada RAM. Mungkin, amaun yang diperuntukkan kelak tidak sama dan ianya mengikut konfigurasi memori peranti masing-masing.

Tiada maklumat mengenai bilakah Xiaomi akan melancarkan fungsi terbarunya ini ke dalam sistem MIUI atau telefon pintarnya. Fungsi ini dirasakan boleh meningkatkan keupayaan melakukan berbilang tugasan dan juga prestasi permainan mudah alih.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.