Sony Group Corporation dilihat tidak mempunyai perancangan untuk menarik balik keputusannya bagi menghentikan pengeluaran cakera fizikal untuk permainan PlayStation baharu bermula tahun 2028.
Keputusan ini dikekalkan walaupun syarikat itu terus menerima kecaman daripada para pemain yang menentang peralihan sepenuhnya kepada ekosistem digital.
Ketua Pegawai Kewangan Sony, Lin Tao, telah menyentuh mengenai kontroversi ini semasa sesi pembentangan kewangan terbaharu syarikat. Beliau mengakui wujudnya reaksi dan pandangan yang kuat daripada komuniti PlayStation.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan Sony berhasrat untuk meneruskan peralihan tersebut secara berhati-hati, dan bukannya mengubah hala tuju rancangan asal. Menurut beliau, keputusan itu didorong oleh pelbagai faktor, terutamanya peralihan pengguna ke arah kandungan digital dalam industri hiburan secara keseluruhan.
Beliau turut menyedari permainan video mempunyai kaitan “emosi dan memori” yang rapat dengan pemain. Namun menegaskan pihak syarikat telah mengambil masa yang lama untuk meneliti dan membincangkan isu ini.
Perincian Peralihan Digital
Sony sebelum ini mengumumkan pengeluaran cakera permainan fizikal untuk semua judul baharu di konsol PlayStation akan ditamatkan mulai Januari 2028. Selepas tarikh tersebut, judul permainan baharu hanya akan dijual secara digital melalui platform PlayStation Store atau menerusi peruncit dalam format digital.
Bagi pasaran runcit fizikal, judul baharu akan dijual di dalam kotak biasa tetapi ia hanya akan mengandungi kod muat turun digital. Secara tidak langsung membuang kewujudan media fizikal permainan tersebut di pasaran.
Pengumuman ini bagaimanapun tidak akan menjejaskan pengeluaran semula permainan yang telah pun berada di pasaran. Judul yang dijadualkan pelancarannya dengan cakera fizikal sebelum tarikh akhir tersebut juga tidak akan terjejas.
Rancangan ini mencetuskan kontroversi terutamanya bagi pengguna yang bimbang tentang isu hak pemilikan permainan. Majoriti pengguna juga bimbang sekatan terhadap pasaran jualan semula permainan terpakai, dan pemeliharaan rekod sejarah permainan digital (game preservation) pada masa akan datang.
Peralihan ini juga mula membangkitkan persoalan. Sama ada konsol generasi akan datang seperti PlayStation 6 akan terus menyokong pembacaan media fizikal atau sebaliknya. Situasi ini menjadi bertambah panas susulan terdapat laporan yang mendakwa beberapa rakan penerbit serta cawangan peruncitan PlayStation serantau langsung tidak dimaklumkan lebih awal mengenai strategi peralihan mengejut ini.
Sungguhpun keputusan muktamad telah dibuat, kenyataan Tao turut memberi ruang dan bayangan Sony mungkin akan mempertimbangkan langkah kompromi semasa proses peralihan tersebut giat dilaksanakan kelak.
Meskipun beliau tidak menyatakan format cakera fizikal akan dikembalikan, syarikat itu mahu mengambil kira “sentimen emosi” pemain. Kaedah interaksi pengguna yang lebih baik dalam ekosistem digital juga akan diteroka kelak.
Pendekatan ini secara teori mungkin dapat membuka ruang kepada format alternatif baharu bagi pemilikan permainan digital. Boleh jadi juga terdapat pilihan pemeliharaan format permainan tersebut di luar talian, walaupun Sony masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenainya setakat ini.










