Samsung telah melancarkan siri Samsung Galaxy S21 pada 14 Januari yang lalu. Tiga buah model di dalam siri iaitu Galaxy S21, Galaxy S21+, dan Galaxy S21 Ultra. Ketiga-tiganya, menampilkan keunikannya yang tersendiri.

Untuk ulasan kali ini, kita akan melihat dengan lebih lanjut model Samsung Galaxy S21 Ultra. Model ini merupakan paling eksklusif antara ketiga-tiganya, baik dari segi spesfikasi mahupun harganya. Nama ‘ultra’ pada model ini memang selayaknya diberikan berdasarkan prestasi yang diberikan oleh telefon ini.

Walaupun terdapat sesetengah pihak mengatakan Galaxy S21 Ultra hanya sebuah model yang diperkemaskan dari model yang terdahulu, saya merasakan ianya bukanlah begitu. Dari segi rekaannya pun, ia sudah jauh berbeza terutamanya pada rekaan kontur pada bahagian yang menempatkan kamera di belakangnya.

Samsung menyediakan dua pilihan warna bagi telefon pintar ini iaitu Phantom Violet dan Phantom Black (seperti yang saya terima untuk ulasan kali ini). Permukaan belakang telefon ini diberikan kemasan kaca berkabut yang dapat menghindarkan dari kesan cap jari. Cuma, kemasan jenis ini saya rasakan agak licin apabila dipegang dan kadangkala saya risau kalau-kalau saya terjatuhkannya. Masalah kecil ini bagaimanapun boleh diselesaikan dengan menggunakan casing yang bersesuaian.

Kuasa pemprosesan cipset Exynos

Sama seperti ketiga-tiga model di dalam siri ini, Samsung Galaxy S21 Ultra 5G menggunakan cipset Samsung Exynos 2100. Dibina menggunakan proses fabrikasi 5nm, cipset okta-teras 64-bit ini mampu dioperasikan pada tahap maksimum 2.9GHz.

Exynos 2100 mampu memberikan peningkatan prestasi pada teras tunggal dan teras berbilang masing-masing dengan 19% dan 33%. Samsung-Galaxy-S21-Ultra-Fortnite

Ini dapat diperlihatkan melalui permainan mudah alih dengan keperluan grafik tinggi seperti Fortnite dan PUBG. Kedua-dua permainan ini dapat saya mainkan dengan lancar walaupun saya kerap mati ditembak kerana saya ‘noob’ bila bermain FPS.

Kelancaran ini disumbangkan oleh GPU ARM Mali-G78 yang memberikan peningkatan prestasi sebanyak 46% berbanding keluaran yang terdahulu. Cipset Exynos 2100 turut didatangkan dengan NPU tri-teras yang menyediakan kuasa pemprosesan AI sehingga 26 TOPS. Ini dapat membolehkan penggunanya memanfaatkan ciri interaktif dan pandangan komputer lanjutan pada Galaxy S21 Ultra dengan lancar.

Kapasiti Storan yang besar

Melalui kapasiti storannya yang besar, anda mungkin tidak perlu lagi untuk kerap memadamkan fail-fail yang tidak diperlukan lagi di dalam telefon pintar anda.

Samsung Galaxy S21 Ultra memberikan pilihan kapasiti storan UFS 3.1 sehingga 512GB, amat besar bagi sesebuah peranti mudah alih. Ini memudahkan anda menyimpan imej dan video beresolusi tinggi yang diambil dari kameranya. Selain itu, anda tidak perlu risaukan storan anda penuh disebabkan WhatsApp anda dipenuhi dengan gambar mesej ucapan selamat pagi dari group keluarga.

Sama seperti model-model lain di dalam siri ini, Galaxy S21 Ultra menggunakan RAM LPDDR5 12GB. Jumlah RAM yang besar ini melancarkan segala urusan kerja anda dengannya serta memberikan pengalaman permainan mudah alih yang sangat hebat.

Cumanya, tiada slot kad mikroSD disediakan pada telefon pintar ini dan untuk jangka panjang, anda mungkin perlu menggunakan perkhidmatan storan awanan untuk menyediakan ruang storan tambahan.

Dibina untuk penggunaan yang lebih lama

Kapasiti bateri sebesar 5,000mAh oleh Samsung Galaxy S21 Ultra dan ditambah dengan kecekapan penggunaan tenaga yang tinggi oleh Exynos 2100, membolehkan telefon pintar ini mampu bertahan sehingga sehari suntuk sebelum ianya dicaskan semula.

Berdasarkan pemerhatian saya, kapasiti baterinya akan berada sekitar 20% pada waktu malam selepas saya menggunakannya dari awal pagi selepas dicas sehingga penuh. Ini mengambil kira tahap penggunaan yang agak tinggi termasuk media sosial, permainan (Pokemon Go), Netflix dan Google Maps.

Mengecas bateri Samsung Galaxy S21 Ultra didapati amat pantas jika mengecasnya dengan pengecas berwayar berkuasa 25W. Keupayaan ini disokong oleh Super Fast Charging yang ditawarkan oelhnya.

Fungsi mengecas peranti lain turut disediakan melalui Wireless PowerShare. Selain mampu mengecas telefon lain secara nirwayar, ianya boleh digunakan untuk mengecas peranti nirwayar lain seperti Galaxy Watch, dan Galaxy Buds.

Kamera Samsung Galaxy S21 Ultra

Kamera belakang Galaxy S21 Ultra menyediakan prestasi mengkagumkan dan mampu memberikan kualiti fotografi dan videografi bertaraf profesional.

Menampilkan sistem kamera baharu yang mengandungi empat lensa, lensa utamanya mempunyai sensor 108MP f/1.8 dengan penstabil optikal. Seterusnya, mampu menyediakan imej berkualiti menerusi imej yang lebih terang dan terperinci di dalam keadaan kurang pencahayaan.Samsung-Galaxy-S21-Ultra-Cameras

Untuk lensa ultra-lebar 12MP pula, ia turut mampu merakamkan video pada resolusi 4K pada kadar 60fps. Dua lensa lagi dengan sensor 10MP berfungsi sebagai telefoto dengan jarak fokal masing-masing 70mm dan 240mm, membolehkan imej dizum 3x dan 10x secara optikal. Lensa dengan jarak 240mm berkenaan juga mampu melakukan zum digital sehingga 100x.

Fungsi zum digital 100x berkenaan yang dilakukan secara berkomputer berkenaan dapat membantu anda memegunkan imej terutamanya jika anda tidak meletakkan telefon anda pada tripod. Sungguhpun kelihatan canggih, secara praktikalnya anda masih lagi memerlukan tripod jika ingin imej yang lebih jitu.

This slideshow requires JavaScript.

Kesemua lensa-lensa Samsung Galaxy S21 Ultra menyediakan kualiti rakaman sehingga 4K 60fps, jika tidak menggunakannya di dalam mod Pro Video. Fungsi lain seperti Directors’s View juga penambahan yang baik, membolehkan anda bertukar-tukar antara lensa sewaktu video dirakamkan.

Bagaimanapun, rakaman video 8K masih lagi tiada penambahbaikan baharu kerana ianya masih lagi dirakamkan pada kadar 24fps.

Pun begitu, fungsi penstabil video yang disediakan ketika rakaman dan juga untuk suntingan pasca-rakaman didapati boleh memberikan kepuasan. Serta ianya boleh membantu meningkatkan kualiti sinematografi bagi anda yang bergantung pada telefon untuk menghasilkan kandungan video.

Tidak ketinggalan, kamera dihadapannya mempunyai sensor 40MP dapat memberikan imej swafoto yang cantik dan boleh dilebarkan untuk membolehkan lebih ramai masuk di dalam gambar.

Lain-lain kelebihan Samsung Galaxy S21 Ultra

Bagi anda yang menggunakan PC Windows 10, Samsung Galaxy S21 Ultra dapat diselaraskan penggunaannya dengan PC anda melalui aplikasi Samsung DeX.

Pada saya, ianya amat membantu kerana dapat memudahkan urusan kerja melalui kaedah pemindahan datanya yang lebih mudah berbanding menggunakan kabel USB seperti yang biasa saya lakukan.

Ciri keselamatan pada siri telefon pintar ini juga diberikan penekanan melalui Samsung Knox. Perlindungan data peribadi serta keselamatan pengguna ketika di dalam talian merupakan sesuatu yang amat dititik beratkan bagi mengelakkan dari sebarang aktiviti penipuan dan scammer.

Sokongan untuk pena Samsung S-Pen turut disediakan pada Samsung Galaxy S21 Ultra. Ianya dapat membantu pengguna dalam kerja-kerja suntingan video rakaman selain memudahkan pengguna menghasilkan kandungan kreatif seperti yang biasa dilakukan pada siri Samsung Galaxy Note. Bagaimanapun, S-Pen tidak disertakan bersama-sama pembelian  telefon pintar ini dan tiada slot penyimpanan disediakan padanya.

Kesimpulan

Telefon pintar ini sesuai bagi anda yang amat setia dengan jenama Samsung. Binaan yang berkualiti dan lasak, serta kualiti kameranya menjanjikan pembeliannya berbaloi.

Beberapa kekurangannya seperti tiada kad mikroSD mungkin perlu diambil perhatian bagi anda yang kerap merakamkan kandungan beresolusi tinggi.

Selain itu, penggunaan kamera untuk sesuatu tempoh yang agak panjang akan membuatkan bahagian permukaan belakangnya berasa suam dan mungkin mendatangkan sedikit ketidakselesaan. Hal ini disebabkan oleh cipset Exynos yang digunakan dan diharapkan agar Samsung dapat mengatasinya dalam keluarannya yang akan datang.

Samsung Galaxy S21 Ultra dijual pada harga RM4,999 untuk model dengan storan 128GB, RM5,299 untuk storan 256GB dan RM5,899 untuk storan 512GB. Anda boleh mendapatkannya secara dalam talian di Samsung Malaysia, Shopee dan juga di wakil-wakil jualan yang sah di seluruh negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.