Samsung dilaporkan sedang giat menguji perisian tegar (firmware) bagi Galaxy Tab S12+. Perkembangan ini memberi isyarat tablet mercu baharu keluaran syarikat teknologi Korea Selatan berkenaan semakin hampir untuk menemui pengguna.

Fail perisian tegar bagi peranti yang membawa nombor model SM-X846B telah dikesan di dalam pelayan Samsung. Versi perisian tegar X846BXXU0AZE5 tersebut membuktikan Samsung telah mula menguji perisian untuk tablet yang akan dilancarkan itu.

Maklumat ini pada awalnya didedahkan menerusi laporan oleh portal teknologi SammyGuru. Pembangunan siri tablet baharu ini bukanlah satu kejutan

Laporan awal pada Februari lalu telah mendedahkan Samsung mula membangunkan barisan Galaxy Tab S12 berkesinambungan dari siri Galaxy Tab S11.

Sebelum model S12+ ini dikesan, ujian perisian tegar bagi varian tertinggi iaitu Galaxy Tab S12 Ultra dengan nombor model X946B dan versi perisian X946BXXU0AZDN telah pun mula dikesan pada bulan sebelumnya.

Samsung sedang memperhebatkan ujian perisian tegar untuk siri Galaxy Tab S12 menjelang pengumuman pelancaran rasmi yang dijangka tiba pada September 2026.

Perkembangan ujian perisian tersebut dikesan di pelayan dan dilaporkan melibatkan ketersediaan wilayah luar seperti Eropah, India, dan Turki.

Ujian pematuhan dan kelancaran ini adalah penunjuk lazim bahawa peringkat akhir pengeluaran komersial semakin hampir untuk dilaksanakan.

Jangkaan tarikh pelancaran pada bulan September bertepatan dengan corak kemas kini tahunan syarikat itu memandangkan siri terdahulu, Galaxy Tab S11, turut dilancarkan pada September 2025.

Galaxy Tab S12+ dijangka dikuasakan oleh bateri berkapasiti besar 10,392mAh. Berkemungkinan akan dipasarkan sebagai kapasiti 10,500mAh.

Laporan daripada pemerhati industri menjangkakan model ini mungkin akan menampilkan paparan skrin OLED QHD+ bersaiz 12.4 inci. Ia dijangka menyokong kadar segar semula 120Hz, kapasiti memori 12GB RAM, serta dijana oleh cip berprestasi tinggi MediaTek Dimensity 9500+.

Siri tablet ini bersama-sama peranti boleh pakai seperti Galaxy Watch Ultra 2 telah didaftarkan dalam pangkalan data IMEI peringkat global seawal Februari tahun ini.

Tinggalkan komentar