CelcomDigi telah mengumumkan pelan bersepadu baharu yang diperkenalkan di bawah satu jenama. Pelan pascabayar baharu ini didatangkan bersama-sama sokongan penggunaan rangkaian 5G tanpa sebarang bayaran tambahan, namun didatangkan dengan had kelajuan.
Pelan baharu ini bermula dari RM80 sebulan untuk data 90GB dan kelajuan yang dihadkan pada 100Mbps sahaja. Pelan seterusnya pula ditawarkan pada RM100 sebulan dengan data 150GB sebulan dan kelajuan yang dihadkan pada 300Mbps. Kedua-dua pelan ini berkongsi kuota hotspot yang sama dengan kuota pelan data.
Seterusnya turut ditawarkan pelan tanpa had yang menawarkan data “tanpa had” dengan kelajuan bermula dari 300Mbps untuk RM120 sebulan, 500Mbps untuk RM140 sebulan dan RM160 sebulan, serta 1Gbps untuk RM260 sebulan.
Selain perbezaan dari segi kelajuan, pelan “tanpa had” ini juga mempunyai had data Dasar Penggunaan Saksama (FUP) yang berbeza-beza. Untuk Postpaid 5G 120 ia ditetapkan pada 300GB, manakala untuk Postpaid 5G 140 dan 160 pula ditetapkan pada 1TB dan untuk Postpaid 5G 260 pula ia ditetapkan pada 2TB. Jika pengguna melepasi had FUP yang ditetapkan mengikut pelan masing-masing, kelajuan akan dikurangkan kepada 10Mbps.
Satu lagi perbezaan yang diperkenalkan untuk pelan yang lebih tinggi harganya ini terletak pada kuota penggunaan data Hotspot. Untuk pelan Postpaid 5G 120, ia dihadkan pada 20GB. Manakala untuk Postpaid 5G 140 pula ia diberikan sebanyak 100GB dan seterusnya untuk pelan Postpaid 5G 160 pula mempunyai 300GB. Untuk pelan Postpaid 5G 260 pula ia ditawarkan dengan “tanpa had”.
Pakej Home Fibre 300Mbps juga ditawarkan secara percuma khas untuk pelan Postpaid 5G 260. Untuk pelan-pelan lain juga ditawarkan dengan pakej Home Fibre berkenaan, namun ia hanya percuma untuk tempoh selama 6 bulan sahaja.
CelcomDigi juga menawarkan rebat bagi anda yang beralih dari syarikat telekomunikasi lain ke pelan baharu ini. Rebat bulanan sebanyak RM30 selama 24 bulan ditawarkan melalui pelan Postpaid 5G 260 dan rebat bulanan RM10 selama 6 bulan untuk pelan-pelan Postpaid 5G yang lain. Turut disediakan pelan suplimentari baharu untuk talian keluar dan kad SIM untuk gajet dengan penambahan harga bermula dari RM30 sebulan sehingga RM50 sebulan.