Terma dan syarat baharu yang diperkenalkan oleh WhatsApp pada Januari lalu telah mendapat maklum balas yang kurang memuaskan daripada penggunanya.

Ia disebabkan dikehendaki bersetuju untuk berkongsikan beberapa data dengan syarikat induknya, Facebook. Lanjutan dari maklumbalas tersebut, WhatsApp telah memutuskan untuk menangguhkan perubahan tersebut ke 15 Mei 2021.

Jadi, apa akan jadi jika pengguna tidak bersetuju dengan polisi baharu tersebut?

Aplikasi permesejan tersebut telah mengemaskini maklumat pada laman keselamatan dan privasi dengan menyatakan berkenaan apa yang bakal berlaku jika pengguna tidak bersetuju.

Menurut WhatsApp, pengguna masih lagi boleh menerima panggilan dan notifikasi untuk beberapa minggu selepas pelaksanaan polisi baharu tersebut. Bagaimanapun, pengguna tidak boleh membaca atau menghantar mesej dan juga membuat panggilan ke mana-mana kenalan. Justeru, menjadikan aplikasi tersebut tidak berguna.

Beberapa Fungsi WhatsApp disekat jika tidak bersetuju

WhatsApp juga tidak menyatakan secara terperinci jika pengguna terus menolak persetujuan terma baharu berkenaan. Terdapat kemungkinan sekatan akan terus dikenakan sehingga pengguna bersetuju. Itupun jika pengguna tidak beralih ke platform permesejan lain yang ibarat ‘kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan’, menyambut penghijrahan besar-besaran pengguna WhatsApp.

Buat masa ini pengguna masih lagi boleh mengeksport sejarah perbualan di dalam WhatsApp ke Android atau iPhone sebelum 15 Mei nanti. Tidak dapat dipastikan sama ada fungsi ini akan dikekalkan atau dipadamkan selepas tarikh berkenaan.

Bau-baru ini WhatsAppp turut menambah halaman soalan-soalan lazim baharu bagi menjelaskan dengan lebih lanjut perubahan polisi tersebut. Usaha ini merupakan sebahagian dari langkah memujuk para penggunanya untuk bersetuju menerima perubahan terma dan syarat baharunya.

Menerusi laman soalan-soalan lazim tersebut, WhatsApp menegaskan pihaknya tidak berkongsikan maklumat peribadi pengguna dengan Facebook untuk tujuan pengiklanan. Bagaimanapun, pada Januari lalu aplikasi permesejan tersebut mengatakan perkongsian data hanya dibuat apabila pengguna berinteraksi dengan perniagaan di dalam platformnya. Secara spesifiknya, pengguna perniagaan yang menggunakan perkhidmatan Facebook.

Kebiasaannya, apabila anda meninggalkan sesebuah platform, anda akan kehilangan sejarah perbualan dan panggilan anda. Namun, kini tidak menjadi masalah apabila aplikasi permesejan seperti Signal dan Telegram membenarkan pengguna memindahkan perbualan WhatsApp.

Sama ada anda memilih untuk bersetuju atau menolak perubahan tersebut segalanya terpulang pada diri anda.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.