Kira-kira jam 10 pagi tadi, sebuah pesawat Airbus A330-300 milik MASKargo telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Pesawat yang diterbangkan oleh juruterbang Kapten Hamdan Che Ismail ini membawakn dua kargo khas dari Belgium.

Dua kotak berlabel AKE 10296 MH dan AKE 10679 MH mengandungi vaksin COVID-19 dari Pfizer-BioNTech khusus untuk rakyat Malaysia. Kargo berkenaan menempatkan sebilangan kotak-kotak penyimpanan sejuk beku yang semuanya menyimpan sejumlah lebih kurang 313,000 dos vaksin.

Kelompok pertama ini merupakan sebahagian dari Fasa 1 Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (NCIP) yang melibatkan 500,000 barisan hadapan yang dijadualkan bermula dari 24 Februari 2021.

Bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pelan imunisasi COVID-19, YAB Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan KP Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bakal menjadi individu pertama di Malaysia menerima suntikan vaksin berkenaan.

Kelompok pertama vaksin Pfizer-BioNTech ini akan diedarkan ke 16 buah lokasi Pusat Simpanan Vaksin di seluruh Semenanjung Malaysia. Enam daripadanya di Selangor, manakala empat lagi di Johor, tiga di Kuala Lumpur, dua di P. Pinang dan satu di Putrajaya.

Secara keseluruhan, 54 buah lokasi Pusat Smpanan Vaksin (PSV) akan mengagihkan ke 605 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ke seluruh negara. Orang ramai yang ingin mendaftar boleh melakukannya bermula pada Mac ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.