Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengumumkan kerajaan akan membuka pendaftaran vaksin pada bulan Mac ini. Pengumuman tersebut dibuat menerusi wawancara dengan Bernama TV, malam Khamis lalu.

Beliau menyatakan pendaftaran ini adalah untuk individu yang berisiko rendah yang bakal menerima vaksin bawah Fasa 3 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada Mei nanti.

Bagaimanapun, wawancara tersebut tidak menyatakan secara terperinci tempoh pendaftaran bagi individu berisiko tinggi dan warga emas yang akan divaksinkan pada Fasa 2 program ini. Dijangkakan tempoh pendaftaran mungkin akan dibuka pada masa yang sama mengambil kira Fasa 2 akan bermula pada April ini.

Beliau turut memaklumkan kaedah terbaik untuk melakukan tersebut adalah melalui aplikasi MySejahtera. Kaedah-kaedah lain pendaftaran bagaimanapun akan dibuat bagi orang ramai yang tidak menggunakan aplikasi penjejakan kontak kebangsaan tersebut.

Orang ramai juga boleh membuat pendaftaran vaksin menerusi laman web rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri minggu depan. Selain itu, orang ramai boleh membuat pendaftaran menerusi talian hotline khusus yang akan dibuka dalam masa yang terdekat ini.

Turut disediakan kelak, pendaftaran secara manual yang akan disediakan di klinik dan hospital kerajaan dan swasta.

Agensi-agensi kerajaan pusat, negeri dan setempat akan turun padang bagi membantu pendaftaran vaksin bagi rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan pedalaman.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.