Singapura sedang mengalami lonjakan ketara dalam kes COVID-19, dengan pihak berkuasa melaporkan lebih daripada 25,900 jangkitan baharu dari 5 hingga 11 Mei. Ini menandakan peningkatan hampir 90% berbanding 13,700 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya, menurut Kementerian Kesihatan Singapura(MOH).
- Lonjakan Kes COVID-19: Lebih 25,900 kes COVID-19 baru direkodkan antara 5 dan 11 Mei, hampir dua kali ganda berbanding minggu sebelumnya.
- Peningkatan Kemasukan ke Hospital: Purata kemasukan harian ke hospital meningkat kepada kira-kira 250 daripada 181 pada minggu sebelumnya.
- Kes di Unit Rawatan Rapi: Purata harian kes unit rawatan rapi kekal rendah pada tiga, berbanding dua pada minggu sebelumnya.
Menteri Kesihatan Ong Ye Kung menyatakan, “Kita berada di peringkat awal gelombang di mana ia meningkat secara beransur-ansur. Gelombang ini dijangka memuncak dalam tempoh dua hingga empat minggu akan datang, iaitu antara pertengahan hingga akhir bulan Jun,” seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Straits Times.
Tindakan dan Pesanan dari pihak Kerajaan Singapura:
- Pesanan Kesihatan: Kerajaan telah mengeluarkan pesanan kesihatan menggesa para penduduk supaya mengamalkan pemakaian pelitup muka.
- Kapasiti Katil Hospital: Hospital awam dinasihatkan supaya mengurangkan pembedahan elektif yang tidak mendesak dan memindahkan pesakit yang sesuai ke fasiliti penjagaan peralihan atau penjagaan di rumah melalui program Mobile Inpatient Care@Home.
- Dos Penggalak Vaksin: Warga emas, individu yang berisiko secara perubatan, dan penghuni fasiliti penjagaan orang tua digesa supaya mendapatkan dos tambahan vaksin COVID-19 jika masih belum menerimanya dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
Ong Ye Kung juga menekankan bahawa jika kes COVID-19 meningkat lagi dengan ketara, sistem penjagaan kesihatan berkemungkinan menghadapi tekanan yang melampau. Sistem kesihatan dijangka berdepan dengan risiko pertambahan kira-kira 1,000 orang pesakit yang berpotensi membebankan kapasiti hospital.
Tiada Rancangan Segera untuk Sekatan Sosial
Buat masa ini, tiada rancangan untuk mengenakan sekatan sosial atau langkah-langkah mandatori lain, kerana COVID-19 dianggap sebagai penyakit endemik di Singapura. Langkah tambahan hanya akan dipertimbangkan sebagai jalan terakhir.
Varian COVID-19 Global dan Tempatan
- Varian Dominan: Di peringkat global, JN.1 dan sub-liniagenya, termasuk KP.1 dan KP.2, kekal sebagai varian COVID-19 dominan. Di Singapura, KP.1 dan KP.2 menyumbang lebih dua pertiga daripada kes.
- Klasifikasi WHO: Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengklasifikasikan KP.2 sebagai varian di bawah pemantauan. Tiada petunjuk semasa bahawa KP.1 dan KP.2 lebih mudah menular atau menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding varian lain yang merebak.