Singapura, 1 Julai 2024 – UOB hari ini menerima lawatan Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi di UOB Plaza, ibu pejabatnya di Singapura, di mana beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan kanan UOB mengenai Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura yang baharu. Menteri Besar Johor serta delegasi beliau turut mengadakan perbincangan meja bulat dengan UOB, serta ketua perniagaan serantau.
Lawatan beliau adalah sebahagian daripada usaha UOB untuk mengukuhkan inisiatif kerjasama di bawah SEZ yang dirancang, dengan tujuan meningkatkan hubungan ekonomi rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia. SEZ diumumkan pada Januari 2024 oleh pemimpin kerajaan Singapura dan Malaysia.
Dato’ Onn telah disambut oleh Encik Wee Ee Cheong, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, dan pihak pengurusan kanan Bank yang lain. Dato’ Onn diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Tuan Yang Terutama Dato’ Dr Azfar Mohamad Mustafar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, serta pegawai kanan utama dari kerajaan dan agensi negeri Johor.
Semasa lawatan beliau, Dato’ Onn telah mengadakan pertemuan peribadi dengan Encik Wee dan pengurusan kanan yang lain daripada Bank. Encik Wee telah menekankan komitmen jangka panjang UOB kepada Malaysia selain berbincang dengan Dato’ Onn tentang memperkukuh kesalinghubungan Malaysia dan Singapura melalui pelaburan langsung asing.
Encik Wee berkata, “Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura akan memberi manfaat kepada perniagaan merentasi pelbagai sektor di Singapura dan Malaysia, sekali gus mewujudkan peluang sepanjang rantaian bekalan selain meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara. UOB mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam membantu pelanggan kami memahami landskap tempatan apabila memasuki pasaran baharu serta menghubungkan mereka dengan rakan kongsi yang sesuai. Kami juga menyalurkan pelaburan langsung asing bagi membantu perusahaan tempatan mewujudkan perniagaan yang terangkum dan mampan. Dengan rangkaian serantau UOB yang luas, serta keupayaan platform yang dipertingkatkan dan kepakaran sektor, kami berada pada kedudukan yang baik untuk membantu pertumbuhan perniagaan di Singapura dan Malaysia, dan juga di seluruh rantau ini.”
Puan Ng berkata, “Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan kehidupan rakyat melangkaui Tambak. Setelah beroperasi selama lebih 70 tahun di Malaysia, UOB Malaysia kekal teguh dalam membantu perniagaan dan pengguna di negara ini. Memanfaatkan hubungan serantau Kumpulan UOB yang kukuh, saya yakin kami mampu menyumbang secara berkesan kepada pembangunan SEZ. Kami akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Johor serta pemegang berkepentingan utama untuk memacu pelaburan dan perdagangan ke dalam negara.”
UOB turut mempermudah perbincangan meja bulat antara delegasi dari Johor dan wakil daripada syarikat besar dan pelbagai organisasi perniagaan seperti Persekutuan Perniagaan Singapura, Persekutuan Pengilang-pengilang Singapura, Dewan Perindustrian dan Perdagangan Singapura-Jerman, Persatuan Perusahaan China (Singapura), Dewan Perniagaan Korea di Singapura dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun. Delegasi dari Johor juga telah membentangkan strategi, sektor keutamaan dan pelan pelaksanaan untuk SEZ.
UOB telah beroperasi di Malaysia sejak 1951 dan mempunyai 55 cawangan di seluruh negara, termasuk tujuh di Johor. Dalam dua tahun kebelakangan ini sahaja, unit Penasihat Pelaburan Langsung Asing UOB telah membantu lebih 20 syarikat meluaskan operasi ke Johor.
Pada Mac 2024, UOB Malaysia dan UOB China juga telah mengadakan dialog meja bulat untuk Dato’ Onn di Shenzhen, salah satu daripada SEZ di China, dengan pengurusan atasan perniagaan dan sektor awam China dalam usaha mempermudah lebih banyak pelaburan langsung asing ke negeri Johor. Selepas pertemuan tersebut, sekurang-kurangnya tiga syarikat dari China telah melakukan komitmen pelaburan ke Johor dengan jumlah nilai anggaran sekitar S$550 juta (RM1.91 bilion).