Utama Telco TM Pelanggan Unifi TV akan menikmati Kandungan HBO, HBO GO Oktober ini

Pelanggan Unifi TV akan menikmati Kandungan HBO, HBO GO Oktober ini

292
0
HBO-Unifi TV

Pelanggan Unifi TV bakal menikmati kandungan HBO di platform berkenaan tidak lama lagi. Warner Bros Discovery (WBD) dan Unifi mengukuhkan lagi usahasama kedua-dua pihak melalui pengumuman kerjasama ini di peringkat pasaran tempatan.

Empat saluran HBO akan ditambah melalui langganan Unifi TV Pack tidak lama lagi. Seterusnya akan menjadikan sembilan saluran di bawah WBD dapat dinikmati oleh pelanggan Unifi TV kelak.

Saluran-saluran yang dimaksudkan adalah:

  • HBO
  • HBO Family
  • HBO Hits
  • Cinemax

“Portfolio kandungan WBD dengan Unifi semakin meningkat. Dengan penambahan saluran HBO di Unifi TV dan HBO GO, lebih ramai peminat di Malaysia akan dapat menikmati jenama unik hiburan premium HBO berbanding sebelum ini. HBO GO menawarkan peluang kepada pelanggan untuk memuat turun dan menstrim pelbagai penceritaan terhebat untuk semua khalayak, dengan filem dan siri merentas genre – drama, komedi, kanak-kanak, fakta, gaya hidup dan banyak lagi – bila-bila masa, di mana-mana sahaja,” menurut Shonali Bedi, Ketua Gabungan Pengedaran & Perkongsian Digital – Asia Tenggara & Hong Kong, Warner Bros. Discovery.

Saluran-saluran baharu ini akan menjadi sebahagian dari pek langganan Ultimate Plus dan Ultimate Max bersama-sama HGTV dan Cartoon Network yang telah pun ditambah ke dalam Unifi TV pada Ogos lalu. Netflix juga baru-baru ini telah ditawarkan untuk pelanggan Unifi TV sama ada sebagai langganan secara berasingan atau melalui sebahagian daripada pek Ultimate Max dan Plus yang baharu diperkenalkan.

Sebagai promosi, semua pelanggan Pek Unifi TV boleh menikmati empat saluran baharu ini percuma selama 30 hari bermula dari 1 September. HBO GO pula hanya akan ditawarkan kepada pelanggan bermula dari Oktober ini. Tiada sebarang perubahan pada harga pek TV semasa untuk langganan.

Pek Unifi TV Ultimate Plus yang turut menyertakan saluran-saluran HBO dan perkhidmatan HBO GO ditawarkan pada harga RM69.90 sebulan. Sebagai perbandingan pek paling murah dari Astro yang menawarkan HBO dan HBO GO berharga RM94.99.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.