Pelanggan Pelan Prabayar U Mobile kini boleh menikmati akses rangkaian 5G tanpa had pada hujung minggu. Pengumuman ini turut hadir bersama-sama pelan prabayar baharu yang diperkenalkan oleh U Mobile, U40.
Sama seperti pelan-pelan prabayar sedia ada, pelanggan hanya perlu menebus pas Unlimited 5G Weekends untuk menggunakan rangkaian 5G tersebut menerusi aplikasi MyUMobile.
Untuk kuota data, pelan Prabayar U Mobile ini dikatakan hadir dengan data “tanpa had”. Namun, ia masih lagi tertakluk dengan Polisi Penggunaan Saksama (Fair Usage Policy, FUP) pelan masing-masing.
Misalnya, FUP untuk Prepaid U25 ditetapkan pada 30GB, manakala Prepaid U35 dan Prepaid U40 pula mempunyai had FUP sebanyak 100GB setiap satunya.
Pelan Prepaid U40 baharu yang berharga RM40 sebulan ini hampir sama dengan pelan Prepaid U35 yang menawarkan data “tanpa had” dengan had kelajuan ditetapkan pada 6Mbps. Bagaimanapun, U Mobile Prepaid U40 menawarkan kuota tanpa had bagi penggunaan hotspot dengan had kelajuan ditetapkan pada 6Mbps sahaja. Pun begitu, FUP untuk pelan ini turut merangkumi bersama-sama penggunaan hotspot.
Pelan Prabayar 5G U Mobile baharu
Sebaik sahaja had penggunaan mencecah FUP pelan Prabayar U Mobile masing-masing, kelajuannya akan dikurangkan kepada 512kbps sehinggalah pembaharuan pelan berikutnya. Dalam pada masa yang sama, pelanggan Prabayar U Mobile masih boleh menikmati 5G pada hujung minggu dengan menebus pas Daily Speed Booster dari aplikasi MyUMobile untuk penggunaan selama 1 jam bagi setiap hari.
Selain itu, anda juga boleh mendapatkan 5G Daily and Weekly Plans yang membolehkan anda mendapatkan akses ke rangkaian 5G sepanjang hari atau minggu. Untuk 5G Daily Plan, anda akan menerima kuota 1GB dan 5GB pada harga masing-masing RM3 dan RM6. Manakala 5G Weekly Plan pula hadir dengan kuota 10GB pada harga RM12.
Jika anda ingin mendapatkan akses terus ke perkhidmatan 5G U Mobile tanpa perlu menebus pas harian dan mingguan, anda mungkin lebih sesuai menggunakan pelan pascabayar U Mobile. Kuota data sehingga 1TB ditawarkan melalui tiga pelan pascabayar dengan harga bermula dari RM38 sebulan.