vivo Malaysia telah mengesahkan kehadiran telefon pintar peringkat menengah terbarunya, vivo Y22s di laman Facebook rasminya. Berdasarkan maklumat yang dikongsikan di laman web globalnya, telefon pintar ini menampilkan cipset Snapdragon, dwi-kamera, bateri berkapasiti besar dan banyak lagi.
vivo Y22s hadir dengan skrin LCD 6.55-inci beresolusi 720 x 1612 piksel, nisbah aspek 20.1:9, warna gamut NTSC 70% NTSC dan kadar penyegaran semula skrin sehingga 90 Hz.
Turut disediakan pengimbas cap jari pada sebelah sisi, pembesar suara, port USB-C, dan satu bicu audio 3.5mm. Telefon pintar ini mempunyai kerintangan debu IP5X, IPX4 untuk kerintangan air dan boleh didapati dengan pilihan warna Summer Cyan atau Starlit Blue.
Telefon pintar dengan sokongan rangkaian 4G ini menggunakan pemprosesan Snapdragon 680, jenis yang sama digunakan pada vivo Y35 yang dilancarkan pada Ogos lalu. Bersama-sama pilihan konfigurasi memori sehingga RAM 8GB dan storan 128GB, vivo Y22s menyokong ciri memori maya.
vivo Y22s dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokonga pengecasan pantas 18W. Selain itu, ia menggunakan Android 12 melalui antaramuka Funtouch 12, bersama-sama sokongan sambungan nirwayar Wi-Fi, dan Bluetooth 5.0. Bagaimanapun, tiada sokongan NFC disediakan untuk telefon pintar ini.
Untuk fotografinya pula, telefon pintar ini hadir dengan dwi-kamera yang mengandungi kamera utama 50 MP f/1.8 dan kamera makro 2 MP f/2.4. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 8MP f/2.0.
vivo Malaysia setakat ini masih belum menyatakan tarikh kemasukan dan harga vivo Y22s di pasaran Malaysia. Ketika dilancarkan di Vietnam baru-baru ini, telefon pintar ini berharga VND 5,990,000 (~RM 1,102).