Utama Mobile Aplikasi Twitter diambang kekacauan: Ratusan pekerja letak jawatan kerana tidak suka Elon Musk

Twitter diambang kekacauan: Ratusan pekerja letak jawatan kerana tidak suka Elon Musk

540
0
Elon Musk Twitter Kekacauan

Twitter dilaporkan telah menutup pejabatnya sehingga Isnin ini, 21 November 2022 menurut satu kenyataan rasmi yang dkeluarkan kepada pekerja-pekerjanya. Sebab mengapa tindakan ini diambil tidak dijelaskan dengan lebih lanjut.

Namun terdapat laporan yang menyebut keadaan kekurangan pekerja di Twitter buat masa ini terlalu meruncing kerana jumlah yang meletakkan jawatan terlalu ramai. Elon Musk dikatakan “hanya pekerja yang bagus akan kekal” dan beliau mendakwa dirinya tidak begitu bimbang mengenai perkembangan terbaru syarikat yang baru diterajuinya ini.

Elon Musk merancang untuk menjadikan Twitter lebih stabil kewangannya dengan memperkenalkan tanda sah (verified) berwarna biru yang boleh dilanggan pada harga $8 sebulan. Beliau juga bertindak mengurangkan tenaga kerja sehingga separuh bagi mengurangkan perbelanjaan menguruskan Twitter.

Para pekerja Twitter telah diberikan masa sehingga semalam, 17 November untuk menandatangani persetujuan untuk jam bekerja yang lebih panjang atau berhenti kerja serta merta dan menerima pampasan tiga bulan gaji.

Sebahagian pekerjanya yang telah berhenti menyatakan terdapat sekitar 74% hingga 90% tenaga kerja lebih sanggup memilih untuk mengambil pampasan dari menghadap jam bekerja yang lebih panjang sebagaimana yang dituntut oleh Elon Musk.

Media dari British, BBC memetik kenyataan dari seorang bekas pekerja Twitter yang menjangkakan kurang dari 2,000 pekerja sanggup bekerja dengan Elon Musk. Jumlah ini jauh lebih rendah dari jumlah keseluruhan tenaga kerja Twitter yang seramai 7,500 orang sebelum ini. Kebanyakan dari pekerja-pekerja tersebut telah dipecat oleh Elon Musk atau memilih untuk berhenti kerja.

Elon Musk menerusi hantarannya di Twitter dilihat cuba mengalih perhatian ke perkara lain dengan mendakwa isu ini telah menyebabkan penggunaan Twitter kini lebih tinggi dari kebiasaan. Pun begitu, tindakan ‘luar jangka’ yang diambil oleh Ketua Pegawai Eksekutif Twitter baharu ini membimbangkan komuniti teknologi kerana boleh memberikan kesan buruk terhadap pembangunan teknologi maklumat dalam jangka masa panjang.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.