Utama Mobile Aplikasi Elon Musk naikkan Harga Langganan X Premium+ kepada ~RM44

Elon Musk naikkan Harga Langganan X Premium+ kepada ~RM44

100
0

Platform media sosial X, yang dimiliki oleh Elon Musk, telah menaikkan harga langganan Premium+ bagi pengguna di Amerika Syarikat dan juga beberapa pasaran lain, mulai 21 Disember. Langkah ini dikatakan untuk meningkatkan pembayaran kepada pencipta kandungan di platform tersebut.

Harga langganan Premium+ telah dinaikkan dari $16 kepada $22 sebulan di Amerika Syarikat. Di pasaran-pasaran lain pula, kenaikan harga ini juga berlaku di pasaran lain seperti di Eropah (dari €16 ke €21) dan Kanada (dari $20 ke $29). Harga untuk pelan langganan asas ($3) dan premium ($8) bagaimanapun tidak berubah.

Kenaikan harga ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan bagi platform X serta memastikan pencipta kandungan dibayar dengan lebih baik. X telah mengubah amalan perkongsian pendapatannya pada Oktober lalu untuk memastikan yuran langganan dapat  menyumbang lebih pendapatan kepada pencipta kandungan di platform terbabit.

X kini memberikan bayaran penglibatan berdasarkan kualiti dan penglibatan kandungan dan bukan hanya berdasarkan jumlah tontonan iklan. Pelanggan Premium+ menikmati pelayaran tanpa iklan, akses yang lebih luas ke chatbot Grok AI, dan alat Radar untuk analisis trend.

Harga baharu ini akan dikenakan kepada pelanggan baharu secara serta-merta. Untuk pelanggan sedia pula akan kekal dengan harga semasa sehingga 20 Januari 2025. Selepas itu harga baharu akan dikenakan pada kitaran bil seterusnya. Kenaikan harga Premium+ ini merupakan kenaikan paling besar sejak Elon Musk mengambil alih platform tersebut pada 2022.

Langganan merupakan strategi utama Musk untuk meningkatkan pendapatan di X, yang sebelum ini sangat bergantung pada pendapatan iklan. X menghadapi persaingan yang semakin meningkat dari platform lain seperti Meta’s Threads dan Bluesky, yang kekal percuma dan bebas iklan, dan ini mungkin menyebabkan pengguna beralih ke platform alternatif.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.