Pertama Digital Berhad telah mengumumkan integrasi MyDigital ID pada tiga perkhidmatan yang disediakannya iaitu KOCEK, eJamin dan MyPay. Pengguna perkhidmatan-perkhidmatan tersebut kini boleh mengakses ke akaun masing-masing dengan hanya sekali log masuk.
Hasil dari integrasi MyDigital ID ini juga menurut Pertama Digital menjadikan akses ke ketiga-tiga perkhidmatan tersebut lebih selamat serta pengalaman log masuk yang lebih mudah dan bersepadu. Integrasi ini juga merupakan sebahagian daripada usaha menyokong ke arah digitalisasi di dalam negara.
Secara ringkasnya, perkhidmatan MyPay, KOCEK dan eJamin menyediakan fungsi seperti:
- MyPay – aplikasi yang menyatukan perkhidmatan elektronik dari agensi-agensi kerajaan bagi membolehkan pengguna membuat pembayaran dengan lebih mudah, seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
- KOCEK – perkhidmatan penukaran syiling melalui kaedah digital yang sebelum ini dikenali sebagai MyPay Coin Conversion. Ia membolehkan pengguna menukarkan duit-duit syiling yang disimpan di Pejabat-Pejabat Pos Malaysia terpilih untuk didepositkan ke akaun bank pengguna.
- eJamin – aplikasi pembayaran ikat jamin mahkamah menggunakan telefon pintar yang pertama di dunia dan digunakan oleh mahkamah-mahkamah di seluruh Malaysia.