HONOR baharu sahaja dalam minggu ini melancarkan model terkini di dalam siri X keluarannya, menerusi HONOR X9c 5G ke pasaran Malaysia. Sebagaimana keluaran pada tahun lepas, keunikan model ini diteruskan lagi dengan sifat kekentalannya yang telah dipertingkatkan bersama-sama penambahan ciri baharu merangkumi kamera, prestasi dan juga sokongan kecerdasan buatan (AI).
Seolah satu kelaziman dengan model di dalam siri X9 ini, ia menjadi pilihan buat pengguna yang inginkan peranti yang tahan lasak. Telefon pintar ini juga sesuai untuk digunakan di tempat-tempat yang berisiko tinggi untuk berlaku kerosakan peranti seperti di tapak pembinaan, bengkel dan juga bagi anda yang bekerjaya di dalam bidang kejuruteraan.
Spesifikasi HONOR X9c 5G
Ukuran | 162.8 x 75.5 x 8 mm |
Berat | 189g |
Paparan | 6.78-inci 120Hz OLED (paparan melengkung) beresolusi 1224 x 2700 piksel, 4,000 nits (puncak) |
Pemprosesan | Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1 |
RAM | 12GB |
Storan | 256GB/512GB |
OS | MagicOS 8.0, berasaskan Android 14 |
Kamera belakang | utama: 108MP, f/1.8, 1/1.67″, PDAF, OIS ultra-lebar: 5MP, f/2.2 |
Kamera hadapan | 16 MP, f/2.5 |
Bateri | 6,600mAh (Silkon Karbon, SiC) |
Pengecasan | Berwayar 66W, sokongan pengecasan berbalik |
Harga X9c 5G di Malaysia
HONOR X9c 5G ditawarkan di dalam dua konfigurasi di Malaysia dan pra-tempahannya telah pun mula dibuka.
- Honor X9c 5G (12GB + 256GB) – RM1,499
- Honor X9c 5G (12GB + 512GB) – RM1,699
Ditawarkan sejak 28 Oktober 2024, HONOR Malaysia telah melanjutkan promosi pra-tempahan HONOR X9c 5G sehingga 14 November 2024. Pada deposit hanya RM9 sahaja, anda berpeluang menerima hadiah bernilai RM1,486 merangkumi rebat segera RM99 dan jam tangan HONOR Gift Haylou percuma.
Anda yang membuat pra-tempahan HONOR X9c 5G juga layak untuk menyertai cabutan bertuah dengan 10 pemenang yang terpilih akan menerima pulangan tunai RM1,500 dan 300 pemenang lagi akan menerima HONOR Robot Cleaner R2. Pemenang cabutan bertuah akan diumumkan pada 29 November 2024.
HONOR turut menawarkan “jaminan tiga kali ganda” yang pertama di dalam industi. Ia mengandungi perlindungan penggantian kaca terbaja bahagian hadapan dan belakang akibat keretakan selama 365 hari. Serta penggantian penggantian satu-kepada-satu dalam tempoh 180 hari jika terdapat kerosakan akibat kecacatan ketika proses pengeluaran dan jaminan bateri selama 36 bulan. Nikmati kelebihan tersebut apabila anda membuat pembelian dan mengaktifkan HONOR X9c 5G anda sebelum 16 Disember 2024.
Anda boleh membeli HONOR X9c 5G menerusi laman web rasmi HONOR Malaysia dan juga kedai dalam talian rasminya di Shopee dan Lazada. HONOR X9c 5G juga boleh didapati secara percuma melalui pelan-pelan terpilih yang ditawarkan oleh Maxis dan U Mobile.
Rekabentuk
HONOR X9c 5G dihasilkan dengan seni yang kemas dengan tumpuan pada rekabentuk dan prestasinya. Telefon pintar ini hadir dengan tiga pilihan warna yang terdiri daripada Titanium Purple, Jade Cyan dan Titanium Black (seperti unit ulasan yang kami terima ini).
Berukuran 162.8 x 75.5 x 7.98mm dan seberat sekitar 189 gram, telefon pintar ini mengetengahkan ciri rekaan ultra nipis dan ringan. Bingkai yang nipis di sekelilingnya dengan rekaan skrin melengkung pada sisinya menjadikan ia lebih selesa apabila dipegang.
Paparan
Melalui paparan melengkung OLED berukuran 6.78-inci yang disediakannya, HONOR X9c 5G tampil dengan resolusi yang baik pada 1224 x 2700 piksel dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan ketumpatan piksel 437 ppi. Ia berupaya memberikan pengalaman tontonan yang lebih imersif baik ketika menonton kandungan penstriman seperti YouTube dan Netflix atau ketika memainkan permainan mudah alih.
Selain itu, paparannya ini juga mempunyai tahap kecerahan puncak yang menakjubkan pada 4,000 nits yang mampu memastikan pengguna menonton dengan selesa dalam pelbagai keadaan pencahayaan, baik di dalam mahupun di luar. Warna gamut DCI-P3 100% pada paparannya ini juga membolehkan anda menikmati warna yang terang dan tampak hidup pada skrinnya.
HONOR X9c 5G juga membantu melindungi mata anda dengan menawarkan ciri keselesaan mata seperti Pemalapan PWM 3840Hz yang mengurangkan risiko ketika menonton pada skrin peranti. Ciri-cir bantuan keselesaan mata ini juga disokong oleh teknologi berasaskan AI seperti AI Circadian dan Dynamic Dimming Technology.
Ketahanan
@amadzahry HONOR X9C hands on #amadzahry #honorx9c
♬ Vlog ・ Chill out in the lounge at night(1279860) – Ninja Muzik Tokyo
Tumpuan utama pada HONOR X9c 5G pastinya pada ekstra ketahanan yang diperkukuhkan lagi dari model sebelumnya. Disifatkan sebagai “Raja Baharu Ketahanan”, X9c 5G telah melepasi penanda-penanda aras yang dicapai oleh model sebelumnya, HONOR X9b 5G.
Ditambah pula dengan “Ultra tough Triple Defense”, menjadi telefon pintar sentiasa utuh walau digunakan oleh individu yang cemerkap dan juga dalam keadaan cuaca ekstrem yang tidak menentu kebelakangan ini disebabkan perubahan iklim yang mendadak.
HONOR X9c 5G menampilkan teknologi Anti-drop 3.0 yang bergandingan dengan Fully Wrapped Curved Screen Protection Layer dan Cushioning Airbag Protective Case pertama di dalam industri yang mampu memastikan skrin tidak akan retak walaupun dijatuhkan pada ketinggian 2 meter pada permukaan yang keras seperti batu marmar mahupun batu kerikil.
Model baharu ini juga mempunyai ciri tahan calar yang pada paparannya bagi memastikan ia lebih lasak dan bertahan untuk kegunaan harian. Anda juga tidak perlu risau jika termasukkan barangan yang berisiko mencalarkan skrin seperti kunci kereta ke dalam poket yang sama anda menyimpan telefon pintar anda.
Bagi meraikan peningkatan ciri kelasakan yang ditawarkan oleh telefon pintar ini, HONOR X9c 5G baru-baru ini telah dianugerahkan dengan SGS 5-star Comprehensive Reliability Certification atas usaha berterusan HONOR dalam menambahbaik ketahanan sesebuah telefon pintar.
Penarafan kerintangan debu dan air IP65M pada telefon pintar ini turut dapat memastikan ia tidak dapat dimasuki debu dan air walaupun disembur dengan air bertekanan tinggi. Ia disumbangkan oleh struktur kalis air tiga lapisan dan mampu melindungi dari kerosakan air dari pelbagai sudut.
Atas sebab itu, telefon pintar ini bukan sekadar mampu bertahan dengan percikan dan semburan air, malah masih lagi mampu berfungsi walaupun ditenggelamkan pada kedalaman 25 cm dalam tempoh sehingga 5 minit.
Paparannya juga boleh digunakan dalam keadaan basah melalui sokongan Wet Hand Touch Control yang turut membolehkan anda menggunakannya tanpa perlu bimbang tersilap tekan.
Prestasi Perkakasan dan Perisian
HONOR X9c 5G dikuasakan oleh pemprosesan Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1 bersama-sama RAM 12GB dan storan pilihan 256GB atau 512GB. Kapasiti memorinya ini juga boleh ditambah secara maya (virtual) sehingga 12GB bagi anda yang berkeperluan untuk meningkatkannya.
Turut disediakan pemprosesan grafik Qualcomm Adreno 710 yang membolehkan telefon pintar ini memainkan beberapa permainan mudah alih berkeperluan grafik tinggi. Antaranya permainan Mobile Legends: Bang Bang dapat dimainkan pada tetapan grafik tinggi dengan lancar.
Dalam tempoh sejam memainkan permainan ini dalam mod prestasi, didapati penggunaan baterinya hanya sekitar ~13%. Prestasi baterinya ini banyak disumbangkan oleh faktor penggunaan teknologi silikon-karbon yang berkapasiti 6,600mAh selain kecekapan pemprosesan telefon pintar ini.
Untuk perisiannya, HONOR X9c 5G menggunakan antaramuka MagicOS 8.0 yang berasaskan Android 14. Ia turut membawakan ciri-ciri kecerdasan buatan seperti Magic Portal, Parallel Space, dan AI Blur Private Info. Fungsi-fungsi ini menyelaraskan tugasan-tugasan dan melindungi privasi, menjadikan telefon pintar ini bukan sekadar gagah perkasa, malah bijak dan cerdik.
Kamera
Menampilkan kamera utama 108MP Super Sensing Camera dengan Penstabil Imej Optikal (OIS), HONOR X9c 5G mampu memberikan kualiti foto yang baik dengan mengurangkan kesan kabur dan bergoyang. Sensor kamera utamanya ini juga yang pertama diperkenalkan pada siri HONOR X.
Sebuah kamera ultra lebar 5MP turut didatangkan bersama-sama pada bahagian belakangnya untuk menyokong fungsi fotografi bersudut luas. Di hadapannya pula ditempatkan kamera 16MP yang boleh digunakan bagi tujuan swafoto dan panggilan video.
Prestasi keseluruhan fotografi HONOR X9c 5G wajar dipuji. Tetapan termaju kameranya dapat memastikan kebanyakan foto yang diambil dihasilkan dengan kemas, seimbang dan jitu. Apabila mengambil foto di kawasan luar dengan pencahayaan yang terang, kameranya ini cemerlang dengan menghasilkan foto berwarna terang dan kontras yang hebat. Tahap perincian dan kejituan warnanya juga agak menyerlah, menjadikan fotografi di luar pengalaman yang mengasyikkan.
Dalam keadaan kurang pencahayaan, HONOR X9c 5G masih lagi mampu memberikan prestasi yang baik. Hasil dari sensor kamera yang telah dipertingkatkan dan pengoptimasian perisian, telefon pintar ini mampu mengambil imej yang seimbang dan jitu dengan kesan hingar yang minimum.
@harianteknologi Rakaman video menggunakan HONOR X9c 5G di Masjid Putra, Putrajaya #honor #honorx9c5g #cameratest
Bagaimanapun, fotografi di dalam bangunan menggunakan telefon pintar ini kadang kala tidak memberikan hasil yang konsisten. Ada beberapa ketika warnanya kelihatan tidak tepat atau kurang menyerlah. Untuk mengatasinya, jika ingin mengambil foto di dalam bangunan, anda perlu memastikan sumber pencahayaan yang baik untuk mendapatkan hasil foto yang lebih kemas dan baik.
Sokongan AI
Penambahbaikan pada HONOR X9c 5G tidak terhad hanya pada kamera dan juga ciri tahan lasaknya. Ia juga ditambah lagi dengan ciri-ciri sokongan AI yang merangkumi:
Magic Portal
HONOR X9c 5G cuba memahami tujuan pengguna secara pintar. Ia akan menghalakan pengguna ke aplikasi-aplikasi sistem yang relevan.
Misalnya, aplikasi seperti Google Maps akan dibuka secara terus apabila anda menerima mesej yang mengandungi alamat. Magic Portal kini menyokong aplikasi-aplikasi seperti WhatsApp, Instagram, YouTube, dan TikTok.
AI Eraser
Anda kini boleh membuang subjek yang tidak dikehendaki di dalam imej seperti individu, atau kenderaan secara manual atau automatik, untuk gambar yang lebih bersih dan berkualiti seakan gambar profesional.
Magic Capsule
Ciri ini meningkatkan pengalaman pengguna dengan melebarkan notifikasi di bahagian atas skrin dengan satu sentuhan mudah, memberikan akses pantas ke maklumat tambahan tanpa perlu menukar aplikasi dan menyelaras interaksi bagi fungsi multitugas yang lebih lancar.
AI Blur Private Info
AI Blur Private Info membolehkan pengguna menyunting maklumat sulit daripada gambar dengan satu klik sahaja. Ia melindungi butiran peribadi seperti nama, kata laluan, dan maklumat lain untuk dihubungi seperti alamat emel atau nombor telefon.
Parallel Space
Pengguna boleh menguruskan data peribadi dan kerja secara selamat dengan mengendalikan dua aplikasi secara bebas. Ciri ini menawarkan kemudahan dua telefon dalam satu telefon, menggalakkan produktiviti dan fleksibiliti.
Naik taraf lain dan kesimpulan
HONOR X9c 5G bukan sekadar tentang ketahanannya semata-mata. Ia juga membawakan penambahbaikan yang agak mengkagumkan dengan meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhannya. Salah satu ciri yang dimaksudkan tersebut, sistem dwi-pembesar suara yang memberikan kelantangan 300% lebih tinggi dari model sebelumnya.
Walaupun bercirikan lasak, HONOR X9c 5G masih lagi mengekalkan ciri rekabentuk yang kemas dan ringan dengan hanya seberat 189 gram dan berketebalan 7.98mm. Rekabentuknya yang nipis membolehkan ia selesa apabila dipegang, membuktikan telefon pintar yang lasak tidak semestinya perlu mengorbankan keindahan estetikanya.