Presiden dan Ketua Samsung Electronics Mobile eXperience (MX) TM Roh baru-baru ini telah menyatakan pelancaran siri Galaxy S23 di pasaran Asia Tenggara menerima sambutan yang amat menggalakkan. Malah, pra-pesanan yang diterima juga meningkat lebih banyak berbanding tahun lepas.
Ketika kunjungan beliau ke Malaysia baru-baru ini, TM Roh turut berkongsikan beberapa maklumat menarik. Antaranya, majoriti pengguna di Asia Tenggara membeli model-model Galaxy S23 dengan kapasiti storan yang lebih tinggi. Ini menjadikan jualan Galaxy S23 Ultra berjaya melangkaui jangkaan.
Memandangkan kebanyakan pengguna di rantau Asia Tenggara ini terdiri daripada golongan muda, kelompok ini mempunyai daya ingin mencuba teknologi baharu yang tinggi selain dari kuasa membeli yang kian meningkat.
TM Roh turut mengharapkan Samsung akan terus merintis pembaharuan dalam pertumbuhan produk-produk baharunya merangkumi siri Galaxy S, Z dan A.
Siri Samsung Galaxy S23 telah diperkenalkan ke pasaran awal bulan ini dengan harga jualannya bermula dari RM3,899. Antara yang paling mencuri tumpuan pastinya pada model Galaxy S23 Ultra yang sarat dengan pelbagai peningkatan prestasi berbanding sirinya yang terdahulu.













