Beberapa syarikat telekomunikasi tempatan akan mula menyekat penghantaran dan penerimaan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi pautan URL bermula dari Selasa ini, 2 Mei 2023.
Perkara tersebut telah disahkan oleh pegawai dari Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) ketika ditanya oleh akhbar Sin Chew Daily. Maxis, Celcom, Digi dan U Mobile merupakan syarikat-syarikat yang mula melaksanakan sekatan tersebut.
Turut disekat SMS yang meminta maklumat peribadi seperti nama individu, nombor kad pengenalan, nombor akaun bank dan lain-lain maklumat perhubungan.
Sumber dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberitahu akhbar Sin Chew bahawa langkah ini disasarkan bagi membendung kegiatan penipuan dalam talian menggunakan rangkaian telekomunikasi dan akan dilaksanakan secara berperingkat.
SKMM mengeluarkan arahan kepada semua penyedia perkhidmatan pada 14 Februari lalu dan kini sedang memantau pelaksanaannya. Buat masa ini sekatan tersebut masih lagi belum diwajibkan.
Tiada lagi SMS dengan URL bermula 2 Mei
Dalam perkembangan yang sama, Maxis telah mengeluarkan pengumuman mengenai arahan dari SKMM untuk menyekat penghantaran dan penerimaan SMS mengandungi pautan URL bermula dari 2 Mei 2023 menerusi laman webnya.
Tambah pengumuman tersebut lagi, sekatan SMS untuk nombor talian tempatan dan antarabangsa ini dilaksanakan bertujuan mencegah pengguna dari menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Pengguna bagaimanapun masih lagi boleh menghantar atau menerima SMS dengan URL melalui aplikasi atau platform permesejan segera seperti WhatsApp, Facebook Messenger, WeChat dan sebagainya.
Pengumuman itu juga menyatakan sekatan SMS dengan URL ini dilaksanakan secara berfasa dengan dimulakan dari penghantaran dan penerimaan dari pengguna individu.
Untuk SMS yang dihantar oleh perniagaan melalui kod ringkas seperti 6XXXX, 2XXXX dan 1XXXX pula, ia akan dilaksanakan kemudian. Notifikasi khusus kepada pelanggan perniagaan mengenai perkara tersebut juga akan dihantar.
Februari lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching menyatakan sekatan SMS tersebut dapat memastikan tiada pengguna yang tidak sengaja membuka pautan palsu dan berisiko menjadi mangsa penipuan. Langkah ini juga diambil berikutan terdapat sesetengah pengguna yang menjadi mangsa akibat membuka laman web palsu dari pautan yang dihantar menerusi SMS dari ‘scammer’.