OPPO baru-baru ini telah melancarkan telefon pintar peringkat pemulanya ke pasaran Malaysia, OPPO A77s. Telefon pintar ini mengetengahkan kelebihan pada kamera utama 50MP bersama-sama mod portret, selain turut menampilkan ciri rekaan ikonik OPPO Glow.
Kita mulakan dengan reka bentuk luarannya terlebih dahulu. Telefon pintar ini mempunyai permukaan belakang yang diperbuat daripada plastik.
Berdasarkan unit ulasan yang kami terima ini yang berwarna Sky Blue, warnanya akan bertukar-tukar apabila anda melihatnya dari sudut-sudut yang berbeza.
Permukaan belakangnya ini juga diberika kemasan matte yang memberikan sentuhan yang lebih ‘mesra’ selain mengurangkan kesan cap jari.
Skrin OPPO A77s
Skrinnya pula hadir dengan LCD IPS bersama-sama kadar penyegaran semula 90Hz beresolusi 1612 x 720. Berdasarkan pengamatan saya dengan telefon pintar ini, ia masih lagi mampu menyediakan paparan yang baik bersama-sama kejituan warnanya walaupun resolusinya tidak tinggi.
Cuma dari segi kecerahan paparannya tidak begitu baik kerana hanya dapat ditingkatkan tahap maksimumnya pada 420 nits sahaja. Ini bermakna anda mungkin berdepan kesukaran untuk melihat apa yang dipaparkan jika berada di luar bangunan.
Prestasi OPPO A77s
Prestasinya pula tidaklah pula terlalu cemerlang untuk memainkan permainan mudah alih pada tetapan tertinggi. Namun, sekurang-kurangnya masih lagi mampu memainkan permainan bergrafik tinggi pada tetapan yang paling rendah. Ini menunjukkan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 680 masih mampu menawarkan kuasa yang agak baik untuk permainan-permainan mudah alih tertentu.
Baterinya pula mampu bertahan bagi kegunaan santai-santai sekitar dalam sehari. Jika kapasitinya baterinya penuh ketika awal pagi, ia masih lagi berbaki sebelum anda masuk tidur untuk mengecaskannya kembali. Lagi pun, dengan pengecas 33W yang disertakan bersama-sama di dalam kotak pembungkusannya, anda boleh mengecaskannya sehingga penuh bateri berkapasiti 5,000mAh berkenaan dalam tempoh 63 minit sahaja.
OPPO A77s didatangkan dengan antaramuka ColorOS 12.1 yang berasaskan Android 12. Sungguhpun ia menyediakan pengalaman kepenggunaan yang baik, aplikasi-aplikasi sarapnya terutama ketika pertama kali memulakan telefon pintar dilihat agak menjengkelkan. Pun begitu, prestasi keseluruhan perisiannya berjalan dengan baik tanpa sebarang cacat cela sepanjang tempoh pengujian yang dilakukan.
Kamera OPPO A77s
Terdapat dua kamera yang ditawarkan oleh OPPA A77s iaitu kamera utama 50 MP f/1.8 bersudut lebar dengan PDAF dan kamera berkedalaman 2MP f/2.4.
Dari segi kualiti foto, imej yang dihasilkannya agak baik dengan warna dan perinciannya mampu ditangkap dengan baik. Cuma adakalanya terdapat beberapa foto yang diambil, hasil warnanya kelihatan hambar.
Rakaman video yang dihasilkannya juga tidaklah begitu mengkagumkan. Namun masih lagi dianggap sekadar ‘boleh pakai’. Bagaimanapun, hal ini tidak menjadi satu masalah memandangkan ia bersesuaian dengan penawaran harga dan juga tarafnya selaku telefon pintar peringkat pemula.
Kualiti audio yang disediakan oleh pembesar suara stereo OPPO A77s ini wajar diberikan perhatian. Selain dilengkapkan dengan teknologi pengoptimasian audio automatik Dirac 3.0, pembesar suara stereo pada telefon pintar ini juga hadir dengan Ultra Volume Mode yang boleh meningkatkan audio sehingga 200%. Untuk anda yang lebih gemar melayan muzik secara sendirian, bicu audio 3.5mm turut disediakan pada sebelah bawahnya selain dari sambungan fon telinga nirwayar melalui Bluetooth.
Harga OPPO A77s di Malaysia
OPPO A77s kini boleh didapati di kedai dalam talian rasminya selain turut dijual di Shopee dan Lazada pada harga RM999. Dari segi pilihan warna, OPPO menyediakan pilihan warna Sky Blue dan Starry Black.
Anda yang membuat pembelian telefon pintar ini juga berpeluang untuk menerima kit kecantikan kembara Y.O.U. bernilai RM99 selagi stok masih ada.