Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) atau dikenali sebagai Laluan Shah Alam dijangka mula beroperasi menjelang hujung bulan ini, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau memaklumkan projek tersebut kini sedang menjalani fasa akhir ujian operasi sebelum dibuka kepada orang awam. Kerajaan yakin semua prosedur dan ujian teknikal dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat bagi memastikan perkhidmatan berjalan lancar.

Menurut beliau lagi, tarikh rasmi pelancaran masih belum dimuktamadkan, namun pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam tempoh dua minggu akan datang.

Pada asalnya laluan ini dijadualkan beroperasi lebih awal. Namun tertangguh susulan pelaksanaan proses rasionalisasi kos yang menyaksikan skop projek dikurangkan.

Sebahagian komponen yang digugurkan sebelum ini kemudiannya dikembalikan semula sepanjang pembinaan berlangsung.

Selain itu, projek ini turut mendapat perhatian apabila kontraktor utama dikenakan bayaran ganti rugi berjumlah RM2.73 juta susulan kegagalan memenuhi jadual siap yang telah disemak semula.

Laluan LRT3 sepanjang 37.8 kilometer ini menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia dan merangkumi kawasan utama seperti Petaling Jaya, Shah Alam, Klang dan Bandar Bukit Tinggi.

Secara keseluruhan, laluan ini menempatkan 20 stesen, termasuk beberapa stesen pertukaran penting yang menghubungkan rangkaian rel sedia ada:

  1. Bandar Utama (pertukaran MRT Laluan Kajang)
  2. Kayu Ara
  3. BU 11
  4. Damansara Idaman
  5. SS7
  6. Glenmarie (pertukaran LRT Laluan Kelana Jaya)
  7. Kerjaya
  8. Stadium Shah Alam
  9. Dato Menteri
  10. UiTM Shah Alam
  11. Bandar Baru Klang
  12. Pasar Besar Klang
  13. Jalan Meru
  14. Klang
  15. Taman Selatan
  16. Seri Andalas
  17. Klang Jaya
  18. Bandar Bukit Tinggi
  19. Johan Setia

Tinggalkan komentar