Mac tahun lalu, Steam telah mengumumkan akan menamatkan sokongan untuk Windows 7 dan Windows 8. Pengguna sistem operasi berkenaan kelak tidak boleh menerima kemaskini biasa dan juga kemaskini keselamatan.
Steam Support juga tidak lagi menyediakan khidmat sokongan teknikal kepada pengguna-pengguna yang mempunyai masalah pada sistem operasi usang tersebut. Perrmainan-permainan sedia ada pada Steam yang telah dipasangkan bagaimanapun masih lagi boleh dimainkan selepas 1 Januari 2024. Namun, tiada jaminan ia boleh dimainkan tanpa sebarang masalah.
Oleh yang demikian, pihak Valve menggesa para pengguna supaya mengemaskini ke Windows versi yang terkini bagi mengelakkan sebarang gangguan. Perubahan ini perlu dilakukan bagi menampung keperluan semasa seperti integrasi dengan Google Chrome yang tidak lagi boleh digunakan pada Windows versi lama. Malah, Steam versi yang akan datang juga memerlukan kemaskini ciri dan keselamatan yang hanya terdapat pada versi Windows 10 dan ke atas sahaja.
Perkembangan ini sudah dijangka mengambil kira Tinjauan Perkakasan dan Perisian Steam baru-baru ini. Secara keseluruhan terdapat 95.4% pengguna Windows yang merangkumi Windows 10 (53.45%) dan Windows 11 (41.95%) dengan pengguna Windows mencatatkan bilangan pengguna kurang dari 1%. Malahan angka tersebut lebih rendah berbanding pengguna Steam pada MacOS.
Sokongan Windows 7 dan Windows 8 telah lama ditamatkan oleh Microsoft. Namun, masih terdapat lagi sebilangan kecil pengguna yang masih setia menggunakan sistem operasi tersebut. Jika anda meminati permainan komputer dan menggunakan platform Steam, anda mungkin perlu mengemaskini ke versi Windows yang lebih terkini untuk mengelakkan sebarang isu yang timbul kemudian.