Valve secara rasmi telah mengumumkan pelancaran perkakasan terbaru mereka, Steam Machine. Konsol PC bersaiz kompak tersebut dijadualkan menemui pengguna pada 30 Jun ini.
Steam Machine ditawarkan dalam dua varian berbeza yang disesuaikan mengikut keperluan pengguna.
Model asas berkapasiti 512GB yang hadir tanpa alat kawalan ditawarkan pada harga $1,049 (kira-kira RM5,899). Manakala model berkapasiti 2TB pula berharga $1,428. Model lebih tinggi ini dipakejkan secara komprehensif bersama sebuah Steam Controller. Turut didatangkan bersama dengannya dua plat penutup hadapan tambahan (faceplates) yang menampilkan kemasan fabrik merah serta kayu walnut padu.
Kedua-dua model ini dikuasakan oleh cip pemprosesan (CPU) dan unit pemprosesan grafik (GPU) yang ditala khusus bagi menyeimbangkan prestasi dengan sistem penyejukan.
Spesifikasi penuh bagi kedua-dua varian adalah seperti berikut:
- Pemproses (CPU): AMD Zen 4 separuh khusus dengan 6-teras dan 12-bebenang.
- Grafik (GPU): AMD RDNA3 separuh khusus dengan 28 unit pengiraan (CUs).
- Memori: RAM 16GB DDR5 ditambah dengan 8GB memori video GDDR6 (VRAM).
- Storan: Pemacu NVMe SSD (512GB atau 2TB) berserta slot kad memori microSD tambahan.
- Rangkaian: Sokongan kelajuan tinggi Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3, dan port Gigabit Ethernet.
- Ciri Tambahan: Penyesuai wayarles bersepadu untuk menghubungkan Steam Controller secara terus.
- Sistem Operasi: Dikuasakan oleh perisian SteamOS 3.
- Reka Bentuk: Menggunakan faktor bentuk yang sangat kecil (SFF), dengan ukuran lebih kurang kiub bersaiz 6 inci.
Sistem Pendaftaran Tempahan Lebih Adil
Bagi memastikan proses pengedaran dan pembelian yang saksama, Valve tidak menggunakan sistem ‘siapa cepat dia dapat’.
Pendaftaran tempahan dibuka secara berperingkat sehingga 25 Jun pada jam 10:00 pagi Waktu Pasifik (PT). Tempoh kelonggaran ini memberikan masa yang cukup kepada para pengguna untuk mendaftar.
Dalam pada masa yang sama membolehkan sistem Valve melaksanakan proses pengesahan bagi menapis pendaftaran palsu daripada akaun bot .
Bagi melayakkan diri untuk cabutan pendaftaran ini, pengguna diwajibkan memiliki akaun Steam dengan status rekod yang bersih (good standing) serta telah melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi pembelian di platform Steam sebelum tarikh 27 April 2026.
Pendaftaran adalah terhad kepada satu permohonan sahaja bagi setiap isi rumah. Pihak Valve akan memilih pengguna yang berjaya secara rawak dan akan mula menghantar notis kelulusan melalui e-mel kepada mereka pada minggu bermula 29 Jun.













