Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pelanjutan waktu operasi pada hujung minggu sepanjang bulan ini bagi melancarkan proses permohonan program subsidi bersasar, Budi Diesel.

Inisiatif Budi Diesel telah mula berkuat kuasa sepenuhnya pada awal minggu ini. Program ini menggantikan sistem subsidi terdahulu dengan pendekatan subsidi bersasar. Mirip dengan pelaksanaan program Budi95.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi JPJ, pengoperasian hujung minggu ini bermula dari 4 Julai 2026 hingga 26 Julai 2026. Pelanjutan ini melibatkan kaunter-kaunter pelesenan di ibu pejabat JPJ negeri, cawangan daerah, dan juga pusat Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Waktu Operasi Mengikut Negeri

Bagi negeri Kelantan, Terengganu, dan Kedah, pejabat JPJ akan beroperasi pada hari Jumaat dan Sabtu sepanjang tempoh kempen ini. Sementara itu, bagi negeri-negeri lain di seluruh Malaysia, operasi hujung minggu ditetapkan pada hari Sabtu dan Ahad.

Waktu operasi bagi kesemua kaunter yang terlibat adalah bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Pengguna disarankan untuk memanfaatkan waktu ini khusus bagi menyelesaikan urusan berkaitan permohonan Budi Diesel.

Kuota dan Syarat Tambahan Budi Diesel

Program Budi Diesel membolehkan rakyat Malaysia yang layak untuk membeli bahan api diesel pada harga subsidi RM2.10 seliter. Secara asasnya, individu yang diluluskan akan menerima kuota bulanan sebanyak 200 liter, yang turut dikongsi bersama penggunaan petrol RON95.

Walau bagaimanapun, keistimewaan diberikan kepada pemilik kenderaan jenis trak pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) berkuasa diesel.

Pemilik yang berkenaan boleh memohon peruntukan tambahan sebanyak 100 liter, menjadikan jumlah keseluruhan kuota sebanyak 300 liter sebulan. Tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pemindahan Kuota Kepada Ahli Keluarga

Bagi memberikan lebih fleksibiliti terutamanya kepada pengguna di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak, kerajaan turut membenarkan pemindahan kuota Budi Diesel kepada individu lain.

Walau bagaimanapun, mekanisme pemindahan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pemindahan hanya boleh dilakukan kepada ahli keluarga terdekat, iaitu suami atau isteri, adik-beradik, ibu bapa, atau anak-anak. Penerima kuota juga diwajibkan memenuhi syarat kelayakan program Budi95.

Pemindahan kuota ini bersifat sehala dan tidak boleh ditarik balik selepas ia diluluskan. Pengguna yang ingin memindahkan kuota mereka pada fasa pertama ini perlu mengemukakan permohonan selewat-lewatnya pada 12 Julai 2026.

Tinggalkan komentar