Steam kini secara jelas mengetengahkan perjanjian lesen pengguna akhir (end user license agreement, EULA) pihak ketiga yang disertakan di dalam halaman produk untuk permainan dan aplikasi yang dihoskan di dalam platformnya.
Dokumen-dokumen lampiran yang disediakan secara berasingan oleh penerbit atau pembangun yang berlainan memaklumkan pengguna perisian yang dibeli adalah dilesenkan kepada mereka dan bukannya dijual. Notis tersebut juga kini dipaparkan pada halaman semakan pembayaran.
Pemakluman ini dilaksanakan oleh syarikat induk Steam, Valve menjelang penguatkuasaan undang-undang AB 2426 pada tahun hadapan. Undang-undang baharu mewajibkan syarikat-syarikat memaklumkan pembelian kandungan digital tidak akan menjadikan ia dimiliki pengguna. Sebaliknya hanya lesen untuk mengaksesnya.
Ia tidak tertakluk pada muat turun kekal luar talian dan hanya salinan digital permainan video, muzik, filem, rancangan TV dan ebuku dari gedung kedai dalam talian.
Syarikat-syarikat yang gagal mematuhi undang-undang AB 2426 pada tahun hadapan bakal berdepan dengan hukuman denda atas dakwaan pengiklanan palsu jika tidak menjelaskan had pemilikan pembelian kandungan digital.