Seiring dengan pelancaran siri telefon pintar Xiaomi 17T, Xiaomi turut memperkenalkan tiga peranti boleh pakai pintar generasi baharu untuk pasaran Malaysia.

Barisan produk terbaharu ini terdiri daripada jam tangan pintar Xiaomi Watch S5 46mm, dan penjejak kecergasan Xiaomi Smart Band 10 Pro. Turut diperkenalkan fon telinga nirwayar Xiaomi Buds 6.

Sebagai tambahan, Xiaomi juga memperkenalkan “Violet Collection”, iaitu pilihan warna ungu kontemporari yang eksklusif untuk peranti Xiaomi 17T dan Xiaomi Buds 6.

Xiaomi Watch S5 46mm

Xiaomi Watch S5 46mm direka dengan kerangka keluli tahan karat premium senipis 10.99mm dan seberat 46 gram.

Paparan skrin sentuh AMOLED berukuran 1.48 inci pada jam ini mampu mencapai tahap kecerahan puncak sehingga 2,500 nits. Turut disertakan dengan bingkai yang 40% lebih nipis berbanding model sebelumnya bagi memastikan keterlihatan optimum di bawah cahaya matahari.

Bateri berkapasiti 815mAh yang dibekalkan mampu bertahan sehingga 21 hari untuk penggunaan ringan.

Bagi pemantauan kesihatan, jam ini dilengkapi sensor denyutan jantung 4 LED dan 4 PD dengan tahap ketepatan 98.4%, lebih 150 mod sukan, serta penjejakan corak tidur termasuk kebolehubahan kadar denyutan jantung (HRV).

Xiaomi turut memperkenalkan ciri inovatif Passion Mode yang berupaya mengesan pergerakan bersorak pengguna dan merekodkan data biometrik seperti kadar denyutan jantung dan jumlah sorakan.

Jam ini juga disokong oleh sistem navigasi satelit dwi-jalur (GNSS) untuk penjejakan lokasi luar yang lebih jitu.

Xiaomi Smart Band 10 Pro

Disasarkan untuk penggunaan harian, Xiaomi Smart Band 10 Pro menampilkan skrin AMOLED 1.74 inci yang lebih besar dengan kecerahan mencecah 2,000 nits.

Peranti ini mengekalkan profil nipis pada 9.7mm dan berat 21.6g (tidak termasuk edisi Seramik), manakala bateri 350mAh miliknya memberikan ketahanan sehingga 21 hari.

Modul pengesanan fotopletismografi (PPG), teknologi optik untuk mengukur kadar denyutan jantung, telah dinaik taraf untuk menawarkan ketepatan 98.2%.

Lebih menarik, penjejak ini menyokong sambungan serentak bersama peranti iPhone dan telefon pintar Xiaomi. Pengguna yang menggunakan dua ekosistem berbeza kini boleh menerima notifikasi panggilan dan mesej dari kedua-dua peranti pada satu skrin.

Xiaomi turut bekerjasama dengan aplikasi penjejakan kitaran haid terkemuka, Clue, untuk menawarkan analisis kesihatan wanita yang lebih komprehensif. Peranti ini ditawarkan dalam warna Midnight Black, Glacier Silver, dan Lavender Pink.

Xiaomi Buds 6

Dalam segmen audio, Xiaomi Buds 6 merupakan fon telinga rekaan separuh dalam telinga (tanpa silikon penyumbat) yang dikuasakan oleh pemacu dinamik magnet trikel 11mm dan diafragma bersalut emas 24k.

Gabungan teknologi ini mendatangkan peningkatan sensitiviti trebel sebanyak 30%. Sementara penalaan bunyi dioptimumkan oleh Harman Golden Ear Team berserta sokongan audio beresolusi tinggi Qualcomm aptX Lossless.

Ini juga merupakan fon telinga pertama daripada Xiaomi yang menyokong dua protokol penjejakan terkemuka, iaitu Apple Find My dan Google Find Hub.

Untuk kawalan bunyi, sistem Pembatalan Bunyi Aktif (ANC) pada fon telinga ini menawarkan mod Balanced dan Deep mengikut kesesuaian persekitaran pengguna.

Sistem tiga mikrofon pintar berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) mampu menapis hingar latar belakang sehingga 95dB dan mengekalkan kejelasan suara walaupun ketika ditiup angin selaju 12 meter sesaat.

Bekas pengecasnya tersedia dalam warna Graphite Black, Pearl White, Titan Gray, dan Nebula Purple.

Harga dan Ketersediaan

Semua peranti ini boleh didapati di cawangan rasmi Xiaomi, platform dalam talian mi.com, serta gedung rasmi di Shopee, Lazada, dan TikTok Shop.

Nama Produk Pilihan Warna Harga Asal Harga Promosi
Xiaomi Watch S5 46mm Hitam, Perak RM 799 RM 659
Xiaomi Watch S5 46mm (Seramik) Biru Seramik, Hijau Hutan RM 899 RM 719
Xiaomi Smart Band 10 Pro Merah Jambu, Perak, Hitam RM 399 RM 289
Xiaomi Buds 6 Hitam, Ungu, Kelabu, Putih RM 499 RM 399

 

Tinggalkan komentar