Starcraft, permainan strategi ketenteraan masa nyata yang dibangunkan dan diterbitkan oleh Blizzard Entertainment yang dahulu pertama kali muncul untuk platform PC Windows pada 1998, kini hadir dalam bentuk pelayar web melalui sokongan terkini HTML5.
Walau bagaimanapun, versi ini bukanlah secara rasminya datang dari Blizzard. Sebaliknya ia dipindahkan ke platform pelayar web oleh pengguna GitHub yang dikenali sebagai ‘Ryuta’.
Tiada sebarang kerja-kerja pemasangan pada desktop yang perlu dilakukan untuk mula memainkan Starcraft versi pelayar web ini dan ia hanya memaparkan beberapa demo kawalan asas dan juga masih terhad pada beberapa peringkat.
Versi ini masih lagi perlu dimurnikan pada beberapa sudut. Namun begitu, ia menunjukkan betapa kemajuan pelayar web hari ini sudah menunjukkan peningkatan yang amat ketara.
Masalah yang mungkin akan timbul di kemudian hari pada Starcraft versi HTML5 ini adalah penggunaan aset-aset dan audio tanpa kebenaran dari pihak Blizzard Entertainment. Sebelum ini, syarikat pengeluar judul Starcraft dan Warcraft ini telah mengenakan tindakan terhadap sebuah projek yang menggunakan jenamanya tanpa kebenaran.
Terdapat satu versi yang telah sedia dihoskan di RawGit dan ia membolehkan anda memainkannya tanpa perlu sebarang muat turun. Bagaimanapun, berkemungkinan besar ianya tidak akan kekal lama memandangkan populariti Starcraft yang begitu besar boleh memberikan masalah kepada aliran trafik ke pautan berkenaan.
singgah baca…