Ini merupakan salah sebab kenapa pengguna Android perlu berhati-hati dalam memuat turun aplikasi yang bukan diperoleh secara rasmi di dalam Play Store. Penemuan yang disahkan oleh firma keselamatan Zscaler mendapati aplikasi Adult Player mampu mengunci peranti dan akan meminta wang tebusan jika pengguna ingin membuka kembali peranti Android yang dijangkiti.
Perisian aplikasi ransomware berkenaan akan memaksa mangsanya membayar sebanyak USD 500 (RM 2,171) setelah mengeksploitasi imej mangsanya melalui kamera hadapan peranti yang dijangkiti.
Selain dari itu, ransomware ini juga akan mengunci peranti tersebut dari digunakan oleh mangsanya sehinggalah mangsanya menunaikan permintaan mereka dengan membayar wang tebusan tersebut.
Aplikasi Adult Player berfungsi dengan meminta persetujuan dari pengguna untuk menggunakan akses pentadbir (administrator privileges) terhadap peranti sebelum ia akan menjangkitinya dengan fail APK yang bersifat hasad (malicious).
Jika peranti yang dijangkiti berkenaan memiliki kamera hadapan, ia akan bertindak mengambil foto wajah mangsanya tanpa disedari dan kemudian menghantar foto berkenaan berserta maklumat-maklumat peranti terus ke pelayan penggodam terbabit.
Selepas itu peranti malang berkenaan akan dikunci dan tidak boleh digunakan. Satu notis akan terpapar pada skrin yang menyatakan peranti berkenaan dikunci atas ”sebab keselamatan” berserta foto-foto wajah mangsanya yang terdahulu.
Sebagaimana yang dinyatakan pada perenggan di atas, pengguna perlu membayar kepada penggodam terbabit melalui PayPal.
Aplikasi ransomware mula menular pada peranti-peranti Android sejak kebelakangan ini dan ia kerap berlaku kepada pengguna yang sering memuat turun aplikasi dari pihak ketiga yang bukan dari Play Store.
Sumber berita dan imej diperoleh dari Zscaler, Imej cover diperoleh dari Shutterstock
virus kann., ;p