Microsoft sedang di dalam proses mengambilalih Activision Blizzard, penerbit kandungan permainan berkomputer popular seperti Call of Duty, World of Warcraft, dan Diablo. Perjanjian ini akan melibatkan pembelian Activision pada nilai $68.7 billion (~RM287.9 billion). Jauh lebih tinggi dari pembelian LinkedIn oleh Microsoft, $26 billion pada tahun 2016.
Pembelian ini juga dijangka bakal menjadikan Microsoft syarikat permainan berkomputer ketiga tertinggi dari segi keuntungan, di belakang Tencent dan Sony.
Turut dirancang melalui pengambilalihan ini adalah penambahan sejumlah permainan dari Activision ke dalam Xbox Game Pass. Microsoft tidak lama lagi dijangka akan menerbitkan judul-judul francais yang popular seperti Warcraft, Diablo, Overwatch, Call of Duty, dan Candy Crush.
Buat masa ini, Xbox Game Pass memiliki sejumlah 25 juta pelanggan di seluruh dunia. Angka ini dijangka terus bertambah dengan pembelian lebih banyak studio-studio penerbitan permainan berkomputer oleh Microsoft.
Sebelum ini Microsoft telah mengambilalih Bethesda (ZeniMax Media) pada nilai $7.5 billion (~RM31.43 billion). Pengambilalihan yang dijalankan dalam tempoh setahun yang lalu ini telah membawakan 23 judul permainan baharu dari studio permainan Xbox ke dalam Xbox Game Pass.
Microsoft menjangkakan perjanjian pengambilalihan Activision Blizzard dapat dimuktamadkan pada tahun fiskal 2023. Tempoh ini dilihat agak panjang memandangkan pengoperasian Activision Blizzard di pelbagai pasaran di seluruh dunia memerlukan proses kelulusan yang rumit.