Seorang pembangun tempatan, Encik Saiful Bahri telah berkongsikan sebuah kod pengaturcaraan yang mengira jumlah perbelanjaan anda di Shopee. Beliau telah berkongsikan kod berkenaan menerusi laman Github.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kod berkenaan telah menular di pelbagai platform media sosial terutamanya di WhatsApp dan Facebook. Hal ini turut disebabkan oleh populariti platform membeli-belah dalam talian Shopee dikalangan rakyat Malaysia.
Kod mudah yang ditawarkan ini boleh digunakan melalui pelayar web Chrome. Menerusinya, anda boleh membuat semakan berapakah jumlah yang telah anda belanjakan di Shopee.
Cara menyemak jumlah keseluruhan yang anda pernah belanja di Shopee
Berikut adalah cara membuat semakan jumlah perbelanjaan anda di Shopee dengan menggunakan pelayar Google Chrome:
- Melalui pelayar web Chrome, pergi ke laman GitHub Encik Saiful Bahri dan salin kod beliau di sana
- Seterusnya, masuk ke laman web Shopee.
- Pada halaman utama, pergi pada imej profil anda dan melalui menu ‘drop-down’ yang muncul, pilih ‘My Purchase’
- Menerusi halaman ‘My Purchase’ berkenaan, klik kanan pada mana-mana ruangan di dalamnya, kemudian pilih ‘Inspect’.
- Seterusnya, pada tab paling bawah, pilih ‘Console’. Kemudian tampalkan kod yang anda salin di Github tadi pada ruangan di dalam tab ‘Consol’ tadi dan tekan butang ‘Enter’.
- Selepas beberapa saat, jumlah keseluruhan perbelanjaan anda akan dipaparkan termasuk transaksi pembelian anda yang terdahulu.