Pemandu-pemandu Uber mungkin sedang menghitung hari-hari terakhir untuk menawarkan perkhidmatan mereka kepada rakyat Malaysia. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah merangka garis panduan untuk menjejak dan menahan pemandu-pemandu Uber yang tidak memiliki lesen kenderaan Pengangkutan Awam.
Pemandu-pemandu yang dikesan memberikan perkhidmatan Uber ini tidak dapat lari kerana SPAD bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menghalang mereka dari melakukan pembaharuan cukai jalan.
Aplikasi Uber akan digunakan oleh SPAD dalam memantau sebarang aktiviti yang dilakukan oleh pemandu-pemandu perkhidmatan ini. Menurut kenyataan yang dipetik dari akhbar The Sun, “Sebagai contoh, selepas sesebuah kenderaan persendirian itu dikenalpasti dari log digital di dalam aplikasi Uber bersama-sama bukti kukuh dari video dan foto operasi mereka, pihak berkuasa akan bertindak menghantar notis kepada pemilik kenderaan untuk mereka hadir ditemuduga oleh bahagian penguatkuasaan SPAD (For example, after a certain private car has been identified from the digital log in the Uber app alongside solid evidence of video and photo of their operations, the authority will then send out a notice to the car owner to attend an ‘interview’ with the SPAD enforcement division).”
Jika pemandu didapati gagal hadir untuk ditemuduga, SPAD akan terus menghantar notis dan akan menggunakan kesemua saluran yang ada untuk menjejak kenderaan terbabit. Ini termasuklah dengan menyenarai hitam kenderaan terbabit dari memperbaharui cukai jalan sehingga pemilik bersedia menyerahkan kenderaan terbabit kepada pihak berkuasa.
Buat masa ini, operasi membanteras ini hanya ditujukan kepada pemandu-pemandu Uber sahaja. Ini disebabkan Uber telah bertindak menyekat kad kredit dan akaun yang digunakan oleh pegawai-pegawai SPAD untuk menahan pemandu.
Tindakan ini telah menghalang SPAD dari menjejak lebih dari seorang pemandu dalam satu-satu masa dan dalam masa yang sama juga menyukarkan usaha tersebut.
Dalam pada masa yang sama, SPAD turut memaklumkan bahawa cara hampir sama turut digunapakai untuk menjejak pemandu-pemandu GrabCar.
Perkhidmatan perkongsian perjalanan menjadi isu hangat pada minggu lalu apabila pemandu-pemandu teksi melakukan bantahan. Ini telah mengakibatkan pemandu GrabCar telah diperangkap dan kemudian dibawa ke pihak berkuasa. SPAD telah menahan 44 kenderaan yang didapati memberikan perkhidmatan Uber dan 97 buah lagi terhadap perkhidmatan GrabCar sejak dari Oktober tahun lalu atas dakwaan memberikan perkhidmatan teksi haram.
-Sumber berita diperoleh dari The Sun