Modul kamera yang besar ‘gedabak’ pada bahagian belakang Xiaomi 12S Ultra membuatkan telefon pintar ini mudah dikenali dan dibezakan dengan kebanyakan rekaan telefon pintar lain keluaran terkini. Model berkenaan menempatkan tiga kamera berbeza dengan kamera utamanya dilengkapkan dengan sensor jenis Sony IMX989 50MP 1-inci.

Ketika acara pelancaran siri Xiaomi 12S awal minggu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi Encik Lei Jun menyatakan sensor ini merupakan hasil dari kerjasamanya dengan Sony. Kerjasama berkenaan juga bukan sekadar melibatkan hal-hal teknikal, malah turut meliputi perkongsian kos.

Di dalam satu hantaran blog di dalam laman Weibo beliau, Encik Lei Jun menyatakan kos pembangunannya memakan sebanyak USD15 million (~RM 66.3 juta) dan dibahagikan secara sama rata antara kedua-dua belah pihak. Pun begitu, jumlah pelaburan pembangunan sehingga $8 juta (~RM35.42 juta) juga bukan kecil nilainya.

Pelaburan demi manfaat bersama

Sungguhpun pembangunan ini melibatkan belanja yang besar, beliau menyatakan IMX989 tidak hanya dikhususkan pada Xiaomi sahaja. Pengeluar-pengeluar telefon pintar lain dari China juga boleh memanfaatkannya agar dapat memacu kemajuan pengimejan mudah alih lebih jauh ke hadapan.

Bergandingan bersama-sama lensa asferik 23mm f/1.9 8P yang menggunakan kejuruteraan bersama-sama Leica dan sistem penstabilan imej optikal, kamera utama Xiaomi 12S Ultra turut memanfaatkan prosesĀ binningĀ Super Pixel 4 dalam 1 bagi meningkatkan output di dalam persekitaran kurang pencahayaan.

Model kamera pada bahagian belakang telefon ini juga dilengkapkan dengan kamera ultra-lebar 48MP dan kamera telefoto 48MP dengan keupayaan zum sehingga 120x. Tidak ketinggalan, kamera hadapannya disediakan dengan sebuah kamera 32MP.

Xiaomi 12S Ultra juga menampilkan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 dan turut ditawarkan dengan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman 512GB. Melalui bateri berkapasiit 4,860mAh, telefon pintar ini juga menyediakan sebuah cip khusus pengurusan bateri yang dikenali sebagai Surge G1. Manakala ciri pengecasan pantas 67W yang disokongnya pula diuruskan oleh cip Surge P1.

Harga bagi telefon pintar mercu keluaran Xiaomi ini pula adalah CNY5,999 (~RM3,955) bagi varian RAM 8GB dan storan 256GB. Manakala bagi varian yang lebih tinggi dengan RAM 12GB dengan storan 256GB dan 512GB pula harganya adalah masing-masing CNY6,499 (~RM4,285) dan CNY6,999 (~RM4,615).

Buat masa ini, Xiaomi 12S Ultra, Xiaomi 12S Pro dan Xiaomi 12S hanya dijual secara eksklusif di pasaran China sahaja. Tidak dapat dipastikan bilakah Xiaomi akan mula menawarkan model-model telefon pintar ini ke pasaran antarabangsa kelak.

Tinggalkan komentar