Xiaomi mempamerkan kereta konsep elektrik hibrid Vision Gran Turismo di acara Mobile World Congress (MWC) 2026, Barcelona. Kenderaan hiper (hypercar) ini pada asalnya diumumkan pada hujung bulan lalu sebagai jentera digital yang dibina secara eksklusif untuk permainan video PlayStation, Gran Turismo 7.
Walaupun model fizikal telah dipamerkan, Xiaomi tidak mendedahkan angka prestasi konvensional kenderaan tersebut/ Sebaliknya memberikan tumpuan penuh kepada reka bentuk aerodinamiknya.
Reka bentuk luaran kenderaan ini didakwa “diukir oleh angin” bagi memaksimumkan daya ke bawah tanpa memerlukan komponen aerodinamik tambahan. Lantas menghasilkan bentuk keseluruhan yang menyerupai titisan air.
Walau bagaimanapun, rekaan bahagian hadapan kereta ini dikatakan mempunyai persamaan dengan model konsep Porsche Mission X yang diperkenalkan pada tahun 2023.
Di ruang kokpit pula, Xiaomi memperkenalkan rekaan dalaman yang sangat unik berbanding kereta biasa.
Menurut Xiaomi, konsep ruang dalamannya dinamakan sebagai ‘Sofa Racer’. Ia direka seperti kepompong bagi memberikan pemandu pilihan. Sama ada untuk fokus sepenuhnya pada prestasi pemanduan atau sekadar berehat.
Spesifikasi dan ciri utama rekaan:
- Pekali Seretan (Drag Coefficient): Mencatatkan bacaan serendah 0.29.
- Daya ke Bawah (Downforce): Tahap -1.2 yang penting untuk kelajuan maksimum dan kestabilan selekoh.
- Kecekapan Aerodinamik: Berada pada tahap 4.1.
- Konsep “Sofa Racer”: Ruang dalaman tidak menggunakan kerusi automotif (bucket seats) serta papan pemuka tradisional.
- Stereng Inovatif: Paparan maklumat kelajuan dan skrin pemanduan disepadukan secara terus pada stereng kenderaan.
Buat masa ini, Xiaomi Vision Gran Turismo kekal sebagai sebuah kereta hiper elektrik yang tertumpu untuk dunia digital. Pihak syarikat masih belum mengesahkan sebarang rancangan untuk membawa konsep fizikal ini ke fasa pengeluaran sebenar.
Sekiranya ia direalisasikan pada masa hadapan, rekaan dalaman radikal tersebut berkemungkinan besar memerlukan proses rombakan semula yang teliti demi faktor keselamatan dan praktikaliti.













